Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kebersihan pasar malam penting tingkatkan imej pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Para peniaga pasar malam di bandar raya ini diseru agar terus mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan makanan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, selesa serta diyakini oleh pengguna dan pelancong.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, peniaga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kebersihan kawasan pasar malam yang merupakan barisan hadapan yang berinteraksi secara langsung dengan pelanggan setiap hari.

“Peniaga perlu sentiasa menjaga kebersihan gerai, mengendalikan makanan secara selamat serta mengurus sisa dengan bertanggungjawab.

“Aspek kebersihan perlu diberikan perhatian berterusan kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan imej perniagaan, malah melibatkan kesihatan pengguna dan keyakinan orang ramai terhadap makanan yang dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pasar Malam Bersih di Lintasan Deasoka pada Jumaat.

Joniston berkata, pengendalian makanan yang bersih dan selamat mampu mengurangkan risiko pencemaran makanan serta membantu mewujudkan suasana perniagaan yang lebih berkualiti.

Katanya, pasar malam merupakan antara lokasi tumpuan masyarakat dan pelancong yang mencari pelbagai jenis makanan tempatan, justeru tahap kebersihan yang tinggi amat penting bagi memastikan pengalaman yang positif kepada pengunjung.

“Pasar malam bukan sahaja pusat ekonomi rakyat, malah menjadi ruang yang memperlihatkan identiti setempat, kepelbagaian budaya serta keunikan makanan tempatan yang menjadi kebanggaan negeri Sabah,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kebersihan kawasan perniagaan turut memberi kesan terhadap persepsi pelawat terhadap bandar raya dan negeri secara keseluruhan, terutama dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang.

Sehubungan itu katanya, peniaga disaran memastikan kawasan sekitar gerai sentiasa bebas daripada sampah dan sisa makanan selain mematuhi amalan kebersihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, pengunjung juga digesa memainkan peranan dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan bagi memastikan kawasan pasar malam sentiasa bersih.

Beliau menegaskan bahawa usaha mengekalkan kebersihan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk peniaga, pelanggan dan pihak berkuasa tempatan.

“Kebersihan bukan tugas pihak berkuasa semata-mata tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau berharap Kempen Pasar Malam Bersih 2026 dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga mengenai kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan, sekali gus membantu memperkukuhkan imej pasar malam sebagai destinasi yang bersih, selamat dan menarik untuk dikunjungi. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE