Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Infrastruktur Sabah semakin kukuh dengan peningkatan dana interim – Azrul

Read Time:2 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Peningkatan Pemberian Khas (Interim) kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion setahun yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan infrastruktur negeri, khususnya dalam menangani isu asas rakyat berkaitan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tambahan peruntukan itu memberi ruang kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memberi tumpuan yang lebih menyeluruh terhadap keperluan asas rakyat yang sekian lama menjadi cabaran utama pembangunan Sabah.

Menurutnya, keutamaan terhadap sektor berkenaan amat penting kerana ia berkait secara langsung dengan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan daya saing negeri.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Azrul berkata momentum pembangunan yang ditunjukkan kerajaan ketika ini membuktikan kesungguhan untuk menyelesaikan isu asas rakyat secara berperingkat dan terancang.

Katanya, pelbagai projek infrastruktur sedang dilaksanakan di seluruh negeri meliputi jalan raya utama, jalan luar bandar, jambatan serta kemudahan utiliti yang menjadi asas kepada pembangunan jangka panjang Sabah.

Beliau berkata, antara perkembangan paling ketara ialah kemajuan Projek Pan Borneo Sabah yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Projek ini melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dengan 35 pakej pembinaan dan peruntukan hampir RM25 bilion.

“Setakat April 2026, sebanyak 288 kilometer jajaran di bawah Fasa 1A telah mencapai kemajuan hampir 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat, manakala Fasa 1B yang melibatkan 388 kilometer sedang dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Menurut Azrul, apabila siap sepenuhnya, projek itu akan menjadi tulang belakang sistem perhubungan Sabah yang menghubungkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dengan lebih cekap, selamat serta berdaya saing.

Katanya, jaringan jalan raya yang baik bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah mempercepatkan aktiviti perdagangan, mengurangkan kos logistik, membuka akses pelaburan dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan jalan raya luar bandar dan pedalaman menerusi pelaksanaan projek menaik taraf jalan di bawah Sistem Rangkaian Jalan Sekunder (SRT2 dan SRT3) serta Non-Qualified Road (NQR) yang dibiayai kerajaan negeri dan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Sabah.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 40 projek bernilai kira-kira RM687.7 juta telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 126.47 kilometer.

“Daripada jumlah itu, 78.8 kilometer telah siap sepenuhnya, 25.4 kilometer sedang dalam pelaksanaan dan 22.3 kilometer berada pada peringkat semakan reka bentuk sebelum kerja pembinaan diteruskan,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan daerah Beaufort, Beluran, Keningau, Kota Belud, Kuala Penyu, Kudat, Lahad Datu, Nabawan, Papar, Pitas, Ranau, Sandakan, Tambunan, Tawau, Telupid, Tenom dan Tuaran.

Katanya, pelaksanaan projek itu memberi manfaat besar kepada rakyat terutama dari segi akses perhubungan, keselamatan jalan raya, kemudahan pengangkutan hasil pertanian serta peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Azrul berkata perkembangan tersebut membuktikan komitmen kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada projek mega seperti Pan Borneo Sabah, tetapi turut memastikan pembangunan infrastruktur asas sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pada masa sama, beliau berpandangan penyelesaian tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan di Sabah perlu terus dipercepatkan bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

“Hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini penting untuk meningkatkan keupayaan Sabah melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan kemajuan Projek Pan Borneo Sabah serta pelaksanaan projek jalan raya luar bandar melalui SRT2, SRT3 dan NQR menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu asas rakyat, khususnya berkaitan jaringan jalan raya.

“Momentum pembangunan ini perlu diteruskan agar jaringan perhubungan yang lebih baik dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.

LEAVE A RESPONSE