Read Time:1 Minute, 43 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha penyebaran ajaran yang telah difatwakan sebagai salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan kesucian akidah umat Islam.
Beliau berkata, pendirian tegas itu dibuktikan menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS pada 31 Mei lalu susulan aduan awam berhubung Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) di sebuah dewan sekolah menengah di Kota Kinabalu.
“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang usaha untuk menyebarkan ajaran yang telah difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Langkah penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan umat Islam di negeri ini dilindungi daripada pengaruh fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Arifin yang juga Exco Agama berkata, operasi itu melibatkan 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pelaksanaannya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati program berkenaan telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei dan dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah.
Menurutnya, pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani turut dipamerkan sepanjang program berlangsung.
Katanya, semua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Arifin berkata, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 sebelum diwartakan secara rasmi pada 2007.
Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah serta perpaduan masyarakat.
“Kerajaan Negeri melalui JHEAINS akan terus memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin,” katanya.






