Read Time:1 Minute, 37 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah terus komited mengangkat Pesta Kaamatan sebagai salah satu produk pelancongan budaya utama yang mampu menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), serta pemain industri pelancongan telah merangka pelbagai strategi promosi yang tersusun dan berimpak tinggi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa, pelaksanaan kempen digital global serta kolaborasi strategik bersama ejen pelancongan luar negara bagi memperkenalkan keunikan Pesta Kaamatan kepada pasaran antarabangsa.
“Selain usaha promosi, pengisian program Kaamatan turut diperkaya dengan elemen yang lebih inklusif dan mesra pelancong antarabangsa.
“Langkah ini merangkumi penyediaan bahan promosi dalam dwibahasa, penganjuran persembahan kebudayaan bertaraf antarabangsa serta penyediaan pengalaman interaktif di perkampungan budaya yang membolehkan pengunjung memahami dan merasai sendiri keunikan warisan budaya masyarakat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini pada Sabtu.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Joachim berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan mempromosikan budaya tempatan, malah memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata, melalui pendekatan yang lebih komprehensif dan berfokus, Pesta Kaamatan diharap mampu berkembang sebagai salah satu festival budaya utama di peringkat antarabangsa serta menjadi platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Dengan tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, sambutan tahun ini turut dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan persiapan ke arah Tahun Melawat Sabah 2027.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan sendiri keunikan budaya, semangat perpaduan, serta keindahan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA






