Read Time:1 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Pakistan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negeri ini.
Bahram Khan dan Muhammad Ibrahim Mir membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Bahram ditahan pada 18 Mei lalu di Baz & Sons Trading, Pekan Telipok, selepas mengemukakan Pas Lawatan Sosial yang hanya sah sehingga 3 September 2025.
Tertuduh didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Sabah selama lapan bulan dan 15 hari.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Bahram turut didenda RM500 atau penjara enam bulan kerana melanggar syarat pas yang hanya membenarkannya berada di Semenanjung Malaysia.
Kesalahan itu dikesan di lokasi dan masa yang sama semasa dia ditahan.
Sementara itu, Muhammad didapati tinggal di Sabah selama dua bulan dan 19 hari selepas Pas Khas beliau tamat tempoh pada 1 Mac tahun ini. Tertuduh ditahan pada 20 Mei lalu di Zara Mini Market, Lintas Square.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Chin Tze Mee, mengendalikan pendakwaan.






