Read Time:2 Minute, 40 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Setiap kali Anne Theresse Justin Sentian melangkah, bunyi lonceng yang bergema perlahan bersama hiasan kepala berwarna-warni membuatkan ramai menoleh ke arahnya.
Keunikan penampilan Unduk Ngadau Tongod berketinggian 170 sentimeter itu turut mencetuskan rasa ingin tahu tentang pakaian tradisi etnik yang diperagakannya.
Anne merupakan antara 53 finalis yang bakal merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026 pada pertandingan akhir di Hongkod Koisaan, Penampang, pada 31 Mei ini.
Juruaudit berusia 28 tahun yang fasih bertutur dalam bahasa Dusun itu memperagakan Dlapoi Kinubaya, pakaian tradisi wanita etnik Dusun Tompizos yang buat pertama kalinya diketengahkan di pentas UNK tahun ini.
Finalis itu berkata, penyertaannya bukan sekadar untuk bertanding, tetapi juga mahu memperkenalkan warisan masyarakat Dusun Tompizos kepada khalayak lebih luas.
“Ramai yang datang bertanya pakaian etnik apa ini kerana ia jarang dilihat dan baru diketengahkan kepada umum.
“Sebagai Unduk Ngadau Tongod, saya melihat pertandingan ini sebagai peluang untuk memperkenalkan Dlapoi Kinubaya serta keunikan budaya dan tradisi masyarakat Dusun Tompizos,” katanya.
Beliau berkata, bunyi yang kedengaran setiap kali beliau bergerak dihasilkan oleh cucuk sanggul tembaga berloceng dikenali sebagai ‘timbok kigiringan antik’ dan hiasan berwarna-warni di kepala itu dipanggil ‘ramboi’.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, walaupun Dlapoi Kinubaya baru diketengahkan kepada umum, pakaian asas wanita etnik Dusun Tompizos itu sudah wujud sekitar era 1960-an.
Katanya, Dlapoi Kinubaya dipakai khas oleh wanita Tompizos ketika menyambut kepulangan para pahlawan selepas aktiviti berburu atau mangayau, iaitu amalan pemenggalan kepala.
“Kewujudan pakaian ini dibuktikan menerusi penemuan oleh Johnny Gusi, pengkaji etnik daripada Sabah Cultural Art Fusion (SCAF) Muzium Sabah sekitar tahun 1980-an.
“Dlapoi Kinubaya kini diperkenalkan kepada umum sebagai warisan masyarakat Dusun Tompizos yang suatu ketika dahulu mendiami kawasan kaki Banjaran Trusmadi, yang kini dikenali sebagai Ulu Tongod dalam daerah Tongod,” katanya.
Tambahnya, Dlapoi Kinubaya terdiri daripada dua bahagian utama iaitu dlapoi, baju berwarna hitam, dan gansing, kain sarung yang menutupi si pemakai.
Kain hitam itu diperbuat daripada tenunan serat daun nanas dikenali sebagai ‘round puntingabai’ sebelum diwarnakan menggunakan kaedah tradisional warisan turun-temurun.
“Selain ‘ramboi’ dan ‘timbok kigiringan antik’, pakaian tradisi ini turut diserikan dengan pelbagai aksesori tradisional seperti sinompukud, tompulakas iaitu butang sulaman kavang-kavang, tininabid, nurok urok, dlimpogot ginaramato, botungkat, sinsing, sinogoloi dan tinompurak iaitu gelang yang diperbuat daripada gading gajah,” katanya.

Untuk rekod, Unduk Ngadau Tongod sejak beberapa tahun kebelakangan ini konsisten memperkenalkan pakaian tradisi etnik yang jarang diketengahkan kepada umum menerusi pentas UNK.
Tahun lalu, wakil Tongod, Winddy Pearl Gibson memperagakan Morindon Naa’Vol, pakaian tradisi Dusun Minokok Tompizos yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun.
Pada 2024 pula, Elviana Gunong menampilkan Sabung Nu Rumanau, pakaian tradisi etnik Rumanau yang juga dipercayai berusia lebih satu abad.
Pertandingan Unduk Ngadau sering dianggap kemuncak sambutan Kaamatan di Sabah dan turut menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian pakaian tradisi etnik di negeri ini.
Sejak 2015, jawatankuasa UNK yang dipimpin Pengerusi Majlis Wanita Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Datuk Joanna Kitingan, mula memberi penekanan kepada pemakaian pakaian tradisi asli mengikut daerah yang diwakili peserta.
Usaha itu membuka ruang kepada pelbagai etnik di Sabah memperkenalkan busana tradisi yang jarang diketengahkan kepada umum menerusi pentas UNK.






