Read Time:1 Minute, 37 Second
PENAMPANG: Sambutan kemuncak Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah pada 30 dan 31 Mei ini di Hongkod Koisaan, Penampang dijangka menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dari seluruh Sabah serta luar negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Sabah 2024, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, jumlah kehadiran itu berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima pada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, program sambutan Kaamatan tahun ini telah disusun dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan acara kebudayaan, persembahan tradisional dan aktiviti komuniti.
“Yang saya tahu memang puluhan ribu yang akan datang kalau kita lihat tahun-tahun sebelumnya.
“Sepanjang dua hari itu memang ramai yang datang,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Pesta Kaamatan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan yang menjadi simbol perpaduan dan warisan budaya rakyat Sabah itu.
Katanya, antara program yang telah berlangsung termasuk pertandingan akhir Sugandoi, pertandingan Hiis dan Monogit atau puisi dan penceritaan dalam bahasa Kadazan-Dusun, selain konsert KDCA-ISEP (International Student Exchange Program).
Joachim berkata, sambutan Kaamatan bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan budaya etnik di Sabah, malah membantu memupuk kefahaman generasi muda terhadap warisan tradisional negeri itu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengunjung supaya sentiasa menjaga keselamatan diri sepanjang berada di lokasi sambutan.
“Nasihat saya kepada mereka, jaga keselamatan diri, kawal diri dan nikmatilah festival ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA turut bekerjasama memastikan keadaan terkawal sepanjang sambutan berlangsung.
Menurutnya, pihak penganjur juga memperkenalkan perkhidmatan bas shuttle bermula jam 10 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan pergerakan pengunjung dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Hongkod Koisaan.
Sementara itu, Pengerusi MICC Pesta Kaamatan, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, sambutan tahun ini turut menampilkan program khas dikenali sebagai Kaamatan International Week yang akan memperkenalkan sajian “Jungle Food” di Rumah Tradisi Tambunan pada 29 Mei.
Katanya, program berkenaan diadakan buat pertama kali di Hongkod Koisaan selepas sebelum ini diperkenalkan di daerah Tambunan. – SABAH MEDIA






