Read Time:2 Minute, 46 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tular dengan gelaran ‘Raraa Linggaman’, Cyra Eva Bella Stephen menggunakan pentas Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini untuk memastikan bahasa Dusun Labuk terus dituturkan dalam kalangan generasi muda.
Cyra mula mencuri perhatian ramai di media sosial selepas video beliau menjawab soalan dalam bahasa Dusun Labuk pada pertandingan Unduk Ngadau peringkat daerah tular baru-baru ini.
Unduk Ngadau Telupid berusia 21 tahun itu berkata, penyertaannya dalam pertandingan tersebut secara tidak langsung mendorongnya untuk lebih menguasai bahasa ibundanya kerana peserta digalakkan bertutur dalam bahasa etnik masing-masing.
Katanya, beliau masih mendapatkan bantuan ibunya, Roth Jukin Kurum, bagi memastikan setiap perkataan yang digunakan benar-benar perkataan asli Dusun Labuk.
“Ibu saya merupakan Dusun Labuk daripada suku Sogilitan manakala ayah saya pula Dusun dari Tamparuli, jadi kadang-kadang bahasa yang digunakan itu bercampur.
“Sebab itu saya selalu bertanya kepada ibu sama ada perkataan yang saya gunakan itu betul-betul Dusun Labuk asli atau tidak.
“Saya berharap lebih ramai generasi muda akan terus bertutur dalam bahasa Dusun Labuk supaya bahasa ini tidak perlahan-lahan hilang dalam komuniti sendiri,” katanya.

Cyra merupakan antara 53 finalis yang akan bersaing merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada pertandingan akhir peringkat negeri yang berlangsung 31 Mei ini.
Penutur bahasa Dusun Labuk kebanyakannya menetap di daerah Telupid dan Beluran di sepanjang Sungai Labuk serta menjadi identiti etnik bagi komuniti yang terdiri daripada kelompok ‘bansa sabanar’ atau suku seperti Sogilitan, Turavid, Tompulung, Tindakon dan Putih.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, beliau sudah didedahkan dengan bahasa Dusun Labuk sejak kecil dan menyifatkan bahasa tersebut unik terutama daripada segi sebutan serta penggunaan perkataan yang berbeza dengan dialek Dusun lain.
Menurutnya, kepelbagaian suku dalam kelompok Dusun Labuk turut menjadikan bahasa itu lebih unik kerana setiap suku mempunyai cara sebutan tersendiri namun masih dapat difahami bersama.
Selain memperkenalkan bahasa Dusun Labuk, Cyra juga akan memperkenalkan ‘Sabung Impit Livogu’, pakaian tradisi etnik Dusun Labuk daripada suku Turavid.
Menurut Cyra, pakaian tersebut dipakai oleh pengikut upacara Alum Rami yang dikenali sebagai ‘Bangkaraan’, iaitu individu yang mempunyai kebolehan menyampaikan mentera atau ‘Roroiton’.
Katanya, antara keunikan pakaian itu ialah ‘giring’ atau lonceng kecil yang dipasang pada bahagian hujung lengan kiri dan kanan baju.
“Ia melambangkan bunyi ‘Gonding’ yang mengalun rentak semasa upacara ‘Alum Rami’ dijalankan,” katanya.
Cyra berkata, Sabung Impit Livogu menggunakan warna hitam sebagai warna utama dengan hiasan les putih di bahagian tepi kain dan skirt yang melambangkan kesucian.
Katanya, pakaian tersebut turut dihiasi sulaman berbentuk silang pangkah dengan corak “mamatou rambat” yang melambangkan kemahiran masyarakat Turavid menjahit jaring.
“Bahagian bukaan dada pakaian ini berbentuk V dan dihiasi Kipai iaitu butang kecil berwarna putih.
“Antara aksesori yang digunakan ialah ‘montoilas’ (rantai dalai), ‘kerusang betungkat’, empat ‘kambot’ iaitu tali pinggang daripada duit syiling, serta tiga ‘simpagot’ yang dipakai sebagai lambang kekemasan dan keayuan,” katanya.
Menurutnya, pakaian itu turut dilengkapkan dengan ‘golong sulau’ yang dipakai pada kedua-dua lengan serta ‘timbok’ yang diselit pada bahagian rambut.
“Timbok bukan sekadar perhiasan wanita tetapi juga digunakan sebagai alat mempertahankan diri suatu ketika dahulu,” katanya.
Pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 tahun ini bakal membawa pulang wang tunai RM15,000 selain tajaan pendidikan, pakej saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah lain daripada penaja.
Selain memperingati pengorbanan Huminodun, pertandingan Unduk Ngadau turut menjadi platform untuk memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya.







