Read Time:3 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU : Pelari ultra Sabah, Noor Hafizah Zubaidi yang lebih dikenali sebagai Fifiana, sekali lagi mengharumkan nama Sabah selepas berjaya menamatkan perlumbaan mencabar BTR Ultra Mt. Batur 2026 di Bali, Indonesia.
Acara berprestij anjuran Bali Trail Running dan dipersembahkan oleh ASICS itu berlangsung dari 15 hingga 17 Mei 2026 di Kintamani, Bangli, Bali, menghimpunkan pelari denai dari seluruh dunia untuk menempuh antara perlumbaan ultra trail paling mencabar di rantau ini.
Fifiana, yang merupakan Kapten Pasukan Runsynd Running Club, menyerlah sebagai satu-satunya peserta wanita dari Sabah yang bertanding dalam kategori 100km.
Menurut maklumat rasmi acara, Edisi Ke-7 BTR Ultra 2026 mencabar peserta melalui pengalaman ultra trail“Volcano-to-Volcano” yang tidak dapat dilupakan merentasi landskap menakjubkan Bali, menggabungkan keindahan alam semula jadi, budaya tempatan dan ketahanan fizikal.
Peserta perlu merentas laluan gunung berapi, hutan tebal, laluan suci dan perkampungan tradisional dalam perlumbaan yang dikenali sebagai “Brutal Trail Race”.
Menakluk Laluan Paling Mencabar di Bali
Kategori 100km BTR Ultra memerlukan peserta mendaki tiga gunung – Mt. Batur, Mt. Agung dan Mt. Abang – selain Bukit Pedahan, meliputi jarak keseluruhan 106.2km dengan jumlah kenaikan elevasi setinggi 7,244 meter.
Peserta juga perlu memenuhi had masa ketat (Cut-Off Time/COT) di tiga pusat pemeriksaan, dengan had keseluruhan penamat selama 34 jam.
Fifiana berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 31 jam, 45 minit dan 55 saat (31:45:55), sekali gus meraih tempat ke-2 dalam kategori umurnya dan menduduki tempat ke-9 keseluruhan wanita.
Walaupun ini merupakan penyertaan pertamanya dalam BTR Ultra dan juga perlumbaan pertamanya di Indonesia, Fifiana menyifatkan perlumbaan tersebut sebagai cabaran 100km paling sukar pernah dihadapinya.
“Ini merupakan perlumbaan 100km saya yang keempat, tetapi saya boleh katakan ini adalah 100km paling sukar yang pernah saya tempuhi. Malah jika dibandingkan dengan pencapaian 100 batu saya di UTMB Chiang Mai tahun lalu, laluan BTR Ultra ini jauh lebih sukar dan mencabar,” katanya.
Fifiana turut mendedahkan bahawa penyertaannya adalah menerusi slot tajaan percuma yang diberikan oleh TWTMarathon.
“Apabila diumumkan sebagai salah seorang pemenang slot, saya takut tidak dapat sampai ke garisan penamat. Namun pada masa yang sama, saya gembira dan menerima cabaran itu,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi BTR Ultra, Fifiana membahagikan masa antara latihan dan komitmen kerja dengan memberi fokus kepada latihan kekuatan di gimnasium selain larian santai sejauh 5 hingga 10 kilometer selepas waktu kerja.
Menjadikan penyertaan dalam perlumbaan kompetitif sebagai sebahagian daripada program latihan, beliau menyertai Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM) 100km pada April 2026 dan berjaya menduduki tempat ke-5 kategori terbuka wanita serta ke-7 keseluruhan wanita dengan catatan masa 25:54:09.
Pada Mei 2026, beliau meraih tempat ke-2 kategori terbuka wanita dan ke-3 keseluruhan wanita di Silabur Ultra 100km, sekali gus mencatat rekod peribadi baharu dengan masa 19:22:07, hanya dua minggu sebelum BTR Ultra.
Seminggu sebelum bertanding di Bali, Fifiana turut menyertai Borneo International Marathon 2026 (42km) dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 kategori terbuka wanita dengan catatan masa 4:20:00.
“Setiap perlumbaan yang saya sertai, saya anggap sebagai sebahagian daripada latihan. Ia menjadi persediaan saya untuk acara besar seperti BTR Ultra,” jelasnya.
Susulan kejayaannya, Fifiana merakamkan penghargaan tulus kepada keluarga, rakan sepasukan dan penaja atas sokongan berterusan yang diberikan.
Beliau mengucapkan terima kasih khusus kepada ibunya, Massiti Juria, kakaknya Nina Syafira, abangnya Syafiee, adiknya Syafika dan adiknya Shobree atas doa sepanjang keberadaannya di Bali dan ketika perlumbaan berlangsung.
Beliau turut mengenang arwah bapanya, Zubaidi Baden, yang menurutnya sentiasa dekat di hati dalam setiap pertandingan.
“Bagi saya, arwah ayah sentiasa menunggu saya di garisan penamat,” katanya penuh emosi.
Fifiana turut berterima kasih kepada semua ahli Runsynd Running Club, rakan-rakan dan rakan sekerja atas doa dan sokongan moral, selain penghargaan kepada penaja Suunto Malaysia dan T8 Malaysia atas sokongan berterusan sepanjang perjalanan perlumbaannya.
Selepas ini, Fifiana dijadual menyertai Kejohanan Southeast Asia Trail Running Confederation (SEATRC) 2026 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Julai ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta dari Sabah yang berjaya menamatkan cabaran BTR Ultra 100km iaitu Rizuan, Adib, Mahilul, Datu, Zulharith, Rofiuddin, Shahril dan Lai, selain peserta kategori 60km iaitu Jason Fu, Ina, Mira dan Satin, serta Immie, satu-satunya peserta Sabah dalam kategori 30km.






