Read Time:1 Minute, 42 Second
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, dalam persekitaran digital.
Kedua-dua kod itu dijadual mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 dengan tempoh pelaksanaan munasabah diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan dilaksanakan secara teratur.
MCMC dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, penerbitan CPC dan RMC dibuat selepas sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, CPC dan RMC merupakan antara obligasi utama di bawah ONSA serta sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat kepada kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.
Katanya, kedua-dua kod berkenaan menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
Pendekatan pelaksanaan di bawah kod itu adalah berasaskan hasil bagi memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan.
CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian lebih selamat dan bersesuaian dengan umur pengguna kanak-kanak menerusi penerapan prinsip “safety by design” dalam perkhidmatan digital.
Antara langkah diperkenalkan termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun selain menyediakan perlindungan mengikut umur dan mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko.
Langkah itu juga bertujuan mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
Sementara itu, RMC menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Ia termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim (FAQ) CPC dan Soalan Lazim (FAQ) RMC.






