Read Time:2 Minute, 24 Second
KUALA LUMPUR — Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tampil menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan media hari ini, BERSATU memaklumkan pihaknya meneliti kenyataan Abdul Hadi dalam sidang media beliau di Rusila pada 22 Mei lalu yang menyentuh beberapa perkara termasuk isu pertukaran Menteri Besar Perlis, dakwaan kelemahan jentera pilihan raya, tindakan disiplin terhadap ahli parti serta krisis politik di Negeri Sembilan.
Menurut BERSATU, perkara-perkara berkenaan sepatutnya dibincangkan secara dalaman melalui saluran musyawarah antara kedua-dua parti bagi mengelakkan salah faham dan persepsi negatif dalam kalangan ahli serta masyarakat.
Mengenai isu pertukaran Menteri Besar Perlis, BERSATU menegaskan pelantikan Menteri Besar adalah kuasa budi bicara Raja Perlis mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Katanya, parti itu telah menjunjung titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan baginda untuk menentukan pelantikan Menteri Besar sama ada daripada PAS atau BERSATU.
“Justeru, tuduhan bahawa BERSATU mengkhianati PAS adalah melampau kerana tindakan parti itu dibuat dalam keadaan teratur dan beradab,” menurut kenyataan itu.
BERSATU turut menafikan dakwaan bahawa parti itu tidak mempunyai jentera pilihan raya walaupun mempunyai ramai calon.
Menurut kenyataan itu, BERSATU kini menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari, khususnya dalam kalangan anak muda, sekali gus membuktikan parti itu terus berkembang di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, BERSATU mempertahankan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa ahlinya dengan menjelaskan tindakan berkenaan dibuat berdasarkan perlembagaan parti dan hasil siasatan Lembaga Disiplin.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menerusi surat bertarikh 7 Mei 2026 turut mengesahkan tindakan disiplin yang diambil adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.
“PAS sebagai parti anggota dalam PN sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti lain berkaitan disiplin parti,” menurut kenyataan itu lagi.
Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan, BERSATU menjelaskan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah bekerjasama sejak awal bagi menguruskan situasi berkenaan.
BERSATU mendakwa pihaknya beberapa kali menghubungi PAS antara 28 April hingga 30 April lalu untuk membincangkan tindakan bersama selepas UMNO memutuskan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, BERSATU mencadangkan supaya PN menarik sokongan terhadap 14 ADUN UMNO bagi mengelakkan kekeliruan bahawa PN menyokong kerajaan PH negeri, namun tiada maklum balas diterima daripada PAS.
Selain itu, BERSATU turut menafikan dakwaan bahawa parti itu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong kemasukan parti-parti lain ke dalam PN.
Sebaliknya, BERSATU menjelaskan pendirian gabungan itu ialah kerjasama pilihan raya atau “electoral pact” boleh diadakan terlebih dahulu sebelum kemasukan rasmi mana-mana parti dipertimbangkan.
Menurut kenyataan itu, semua keputusan berkaitan dasar dan halatuju PN dibuat secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan bukannya melalui kuasa veto mana-mana pemimpin parti.
“PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan, namun masalah besar berjaya dirungkai dengan semangat, keluhuran prinsip dan kebijaksanaan kepimpinan,” menurut kenyataan itu.






