KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus mempergiat penguatkuasaan yang membawa kepada penahanan seramai 37 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
JIM Sabah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dalam operasi di Kota Kinabalu, seramai 75 individu diperiksa membabitkan 45 warganegara Malaysia dan 30 warga Filipina.
Hasil pemeriksaan tersebut membawa kepada penahanan enam warga Filipina yang terdiri daripada empat lelaki dewasa dan dua wanita dewasa kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM di Lahad Datu menyaksikan 78 individu diperiksa dan membawa kepada penahanan 31 warga asing.
Daripada jumlah tersebut, 24 warga Filipina ditahan melibatkan lima lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta tujuh kanak-kanak atas kesalahan sama iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tujuh lelaki dewasa warga Pakistan pula ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.
“Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara,” tambah kenyataan itu.






