Read Time:2 Minute, 33 Second
RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melaksanakan Program Jelajah Harta Intelek sebagai inisiatif baharu bagi mengenal pasti serta memperkasa potensi produk tempatan yang boleh dilindungi dan dikomersialkan secara strategik sebagai aset harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemilikan harta intelek dalam pelbagai bentuk seperti Petunjuk Geografi (GI), cap dagangan, paten dan hak cipta mampu meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran domestik serta antarabangsa.

Menurut beliau, program jelajah kali ini melibatkan Sabah Tea, produk keluaran syarikat tempatan dalam industri perladangan teh yang terletak di Ranau.
Katanya, ladang teh itu diusahakan oleh Desa Tea Sdn Bhd yang mula beroperasi sejak 1973, manakala pengeluaran teh bermula pada 1978 melibatkan kawasan seluas 6,200 ekar yang dikelilingi hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun.
“Sabah Tea bukan sekadar terlibat dalam penghasilan teh, malah turut membangunkan ekosistem perniagaan merangkumi sektor hospitaliti, pelancongan berasaskan pengalaman serta produk hiliran yang memanfaatkan identiti dan reputasi asal usul geografinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sabah Tea juga antara contoh terawal kejayaan pemanfaatan instrumen harta intelek di Sabah apabila memperoleh perlindungan Petunjuk Geografi (GI) bagi melindungi identiti produk berasaskan asal usul geografi di Malaysia.
Menurutnya, GI kini menjadi antara instrumen harta intelek paling strategik dalam membangunkan ekonomi berasaskan identiti, reputasi dan keunikan produk tempatan, sekali gus memposisikan produk tempatan sebagai produk premium bernilai tinggi.
“GI turut mewujudkan kesan pengganda ekonomi kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan dan rantaian nilai ekonomi seperti inap desa, restoran, pengangkutan serta kraftangan di kawasan sekitar pusat pengeluaran produk,” katanya.
Sehingga April 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 130 GI berdaftar dengan 31 daripadanya berasal dari Sabah, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama kepada portfolio GI negara.
Antara produk GI yang berjaya membina identiti pasaran tersendiri ialah Sabah Tea, Tenom Coffee, Borneo Virgin Coconut Oil, Sabah Seaweed, Tawau Cocoa, Tambunan Ginger dan Batik Sabah.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata KPDN menerusi MyIPO kini sedang membangunkan mekanisme perlindungan harta intelek yang lebih lengkap dan tersusun termasuk mewujudkan Sabah Intellectual Property Development Plan 2026-2030.
Katanya, pelan itu merupakan antara agenda memperkasa ekonomi berasaskan inovasi dan harta intelek melalui pengukuhan perlindungan IP, pembangunan penilaian IP, pembiayaan berasaskan IP serta peluasan pasaran produk tempatan menerusi penjenamaan strategik Sabah.
“Pelan ini akan memberi fokus kepada pembangunan ekosistem harta intelek yang lebih bersepadu termasuk mengenal pasti GI baharu bagi produk bernilai tinggi seperti produk pertanian tanah tinggi, rumpai laut dan kraftangan komuniti tempatan.
“Ia bagi memastikan kekayaan biodiversiti, warisan budaya dan kearifan lokal Sabah dapat diterjemahkan kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah, KPDN melalui MyIPO akan terus memperkukuh agenda pembangunan harta intelek sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi akar umbi khususnya dalam mengangkat potensi produk tempatan yang berteraskan identiti, warisan dan keunikan setempat.
“Menerusi pendekatan tersusun dan strategik, usaha ini diharap dapat membuka peluang lebih luas kepada komuniti, usahawan tempatan dan pemain industri untuk menjadikan harta intelek sebagai aset menjana nilai ekonomi mampan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.






