KOTA KINABALU: Tiga pembantu penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam kegiatan meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai selain bayaran bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.






