KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha untuk membawa lebih ramai tokoh agama dan penceramah terkenal ke Sabah dalam usaha memperkukuh pembangunan rohani masyarakat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan agensi agama.
Beliau berkata, antara usaha terkini ialah penganjuran ceramah khas melibatkan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah, Ustaz Abdul Somad Batubara yang turut mengadakan jelajah dakwah di beberapa daerah di negeri ini.
“Kehadiran penceramah seperti Ustaz Somad memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama secara lebih meluas melalui ceramah dan program dakwah yang dianjurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri ceramah khas di Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini.

Arifin berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha membawa lebih ramai tokoh agama tersohor termasuk Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Das’ad Latif, Abdullah Gymnastiar dan Adi Hidayat, selain tokoh al-Quran serta qari dan qariah antarabangsa.
Program ceramah khas bersama Ustaz Somad itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 peserta, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap program keagamaan di negeri ini.






