Read Time:1 Minute, 37 Second
KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Malaysia kini muncul sebagai gergasi ekonomi rakyat dengan perolehan nasional mencecah RM81.62 bilion setakat 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, sektor itu turut mencatatkan aset bernilai RM186.75 bilion menerusi 16,468 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang.
“Di Sabah, koperasi terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi apabila merekodkan perolehan sebanyak RM913.33 juta dengan nilai aset melebihi RM1.2 bilion daripada 2,047 koperasi.
“Ini membuktikan koperasi bukan lagi entiti kecil, sebaliknya menjadi pemacu ekonomi rakyat yang signifikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program Bicara Koperasi & Jom@Coop IKMa Bersama Agensi KUSKOP dan Media anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.
Turut hadir pada program itu Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor.
Mohamad berkata, pencapaian itu selari dengan pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030) yang menyasarkan sumbangan sektor itu kepada KDNK meningkat kepada lima peratus menjelang 2030.
Menurutnya, dalam menghadapi cabaran kos sara hidup global, koperasi mempunyai peranan strategik khususnya dalam menguasai rantaian bekalan.
“Koperasi dalam sektor peruncitan dan pertanian mampu mengurangkan kos dengan menghapuskan orang tengah, sekali gus memastikan harga lebih adil kepada anggota dan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu diperkukuh melalui pendekatan A-B-C-D iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi memudahkan bantuan, pembiayaan serta latihan kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau menggesa koperasi supaya terus relevan dengan mengadaptasi teknologi baharu termasuk Revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI) bagi menarik penyertaan golongan muda.
“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga terus memainkan peranan memperkasa modal insan melalui Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang menawarkan laluan akademik sehingga peringkat PhD.
“Kita juga menekankan sinergi antara agensi di bawah kementerian dalam menyokong kerangka Ekonomi Madani, selain menggalakkan media menghebahkan kejayaan koperasi tempatan sebagai inspirasi kepada masyarakat,” katanya.






