Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

83 projek BALB Sabah bernilai RM4.06 bilion diserah kepada kerajaan negeri


Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sebanyak 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah bernilai keseluruhan RM4.06 bilion diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi mempercepat pelaksanaan dan memastikan manfaat dapat dinikmati rakyat luar bandar dengan lebih berkesan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu sebagai pendekatan ‘game changer’ dalam menangani kelewatan projek, termasuk yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2016.

Menurutnya, penyerahan kuasa pelaksanaan kepada kerajaan negeri dibuat susulan lawatan Perdana Menteri ke Sabah dan Sarawak bagi menilai status projek yang berdepan pelbagai kekangan, termasuk isu kelulusan perancangan, jajaran, spesifikasi lokasi, pelantikan perunding serta kontraktor.

“Daripada jumlah itu, projek-projek ini telah lama tertangguh hampir 10 tahun dan memerlukan penyelesaian di peringkat negeri kerana melibatkan pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan daerah.

“Justeru, Kabinet bersetuju supaya projek BALB bagi Sabah dan Sarawak diserahkan kepada agensi pelaksana di bawah kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar kepada Negeri Sabah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, di Sabah, pelaksanaan projek akan diselaraskan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri dengan tiga agensi utama sebagai pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Air Negeri Sabah.

Katanya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (High Level Committee) turut ditubuhkan melibatkan KKDW, agensi Persekutuan dan negeri, dengan mesyuarat pertama dijadual bermula minggu hadapan.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan desentralisasi kuasa itu penting bagi mengelakkan birokrasi berpanjangan, selain memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

“Peruntukan RM4.06 bilion ini akan disalurkan mengikut tatakelola sedia ada, dengan koordinasi bersama antara KKDW dan kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu berlaku situasi perubahan struktur tanpa perubahan dari segi pelaksanaan. Penurunan kuasa ini mesti memberi kesan kepada kelajuan projek demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 30 projek kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan dan akan dipercepatkan, manakala projek sedia ada yang tertangguh akan diselaraskan semula melalui jawatankuasa berkenaan.

Dalam masa sama, katanya, satu lagi mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi menyelaras projek infrastruktur luar bandar lain di bawah KKDW bersama kerajaan negeri Sabah.

Ahmad Zahid menegaskan, langkah itu mencerminkan keyakinan tinggi Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan, selain memastikan agenda pembangunan rakyat dapat direalisasikan tanpa dipengaruhi perbezaan politik.

“Fokus kita adalah kepentingan rakyat. Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan semua manifesto pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE