Read Time:1 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan melakar sejarah tersendiri apabila memilih mercu tertinggi negara sebagai lokasi bagi memartabatkan budaya ilmu menerusi program Jom Baca @ Gunung Kinabalu 2026.
Inisiatif yang julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada program besar Baca@Borneo 2026, bertujuan mengubah persepsi masyarakat agar menjadikan aktiviti membaca sebagai satu gaya hidup yang dinamik dan tidak terhad di ruang tertutup sahaja.
Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, pemilihan Gunung Kinabalu adalah satu simbolik kepada puncak kejayaan yang menuntut usaha, kesabaran, dan ketekunan yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan jersi kepada peserta Jom Baca @ Gunung Kinabalu di sini
Menurut Zawawi, penyampaian jersi tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi melambangkan komitmen padu serta semangat berpasukan dalam menggalas misi membawa naskhah ilmu ke tahap yang lebih tinggi.
“Program ini mencerminkan aspirasi UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’ yang komited mengangkat budaya ilmu merentas ruang dan cara.
“Ia juga selaras dengan Program Jom Baca 10 Minit peringkat kebangsaan yang diadakan pada 23 April setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau lagi, pendakian ini harus dilihat sebagai satu perjalanan pembentukan diri di mana setiap langkah yang diambil adalah satu usaha, dan setiap halaman yang dibaca adalah satu kekuatan.
“Saya ingin berpesan kepada para peserta, teruskan melangkah walau perlahan dan teruskan membaca walau sedikit, kerana kedua-duanya membawa kita lebih dekat ke puncak kejayaan.
“Kejayaan bukan milik mereka yang paling cepat, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti,” ujar beliau menyuntik semangat para peserta.
Program ini dijangka menjadi titik tolak kepada usaha pembudayaan ilmu yang lebih luas dalam kalangan masyarakat, sekali gus membuktikan bahawa ilmu pengetahuan boleh dibawa dan dinikmati di mana-mana sahaja, termasuk di mercu tertinggi Asia Tenggara.






