Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Sambutan Majlis Gongxi Raya anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menjadi platform bermakna dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja dan jemputan.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata sambutan yang menggabungkan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina itu mencerminkan keunikan masyarakat majmuk di Sabah dan Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
Menurutnya, majlis seumpama itu bukan sekadar ruang menikmati pelbagai hidangan tradisi, tetapi turut menjadi simbol kesyukuran, perkongsian rezeki dan pengukuhan hubungan sesama warga kerja.
Beliau berkata, tradisi Yee Sang yang sinonim dengan Tahun Baharu Cina membawa makna simbolik harapan baharu, kemakmuran dan kejayaan, selain melambangkan penyatuan serta semangat untuk terus melangkah bersama sebagai sebuah pasukan yang harmoni.
“Kesempatan ini mengingatkan bahawa kita bukan sekadar rakan sekerja, tetapi sebuah keluarga yang saling menyokong dalam setiap amanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Gongxi Raya IDS 2026 di Wisma IDS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azizah menegaskan sambutan seumpama ini penting dalam memperkukuh nilai kebersamaan dan perpaduan yang perlu terus diamalkan dalam kehidupan seharian, sama ada di tempat kerja mahupun dalam masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pergolakan global, konflik peperangan, ketidaktentuan ekonomi, krisis iklim serta turun naik harga minyak.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat perlu sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan kestabilan yang dikecapi, selain mengamalkan sikap bersederhana dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Berbelanja secara berhemah amat penting dalam suasana ekonomi mencabar. Bersederhana bukan satu kekurangan, tetapi satu kebijaksanaan bagi menjamin kestabilan kehidupan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian terhadap aspek kesihatan, khususnya dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Pastikan minum air secukupnya, kurangkan aktiviti di bawah terik matahari dan sentiasa menjaga kesejahteraan diri serta keluarga,” katanya.






