Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tiada alkohol, hanya minuman tradisional disediakan – Joachim


Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PENAMPANG: Larangan penjualan atau hidangan minuman beralkohol di rumah-rumah tradisi sepanjang perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini, menjadi antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada tahun.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, sepanjang dua hari sambutan itu, hanya minuman tradisional sahaja akan disediakan kepada pengunjung.

Beliau berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan pengalamn pengunjung yang datang.

“Rumah Terbuka akan diadakan di semua rumah tradisi pada 30 hingga 31 Mei 2026 bermula dari jam 11 pagi hingga 2 petang.

“Kita juga tidak akan membenarkan minuman beralkohol dijual atau dihidang di rumah-rumah tradisi pada dua hari tersebut dan hanya minuman tradisional yang disajikan atau disediakan.  Kalau yang lain itu boleh di luar kawasan rumah-rumah terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Pesta Kaamatan bagi tahun 2026 di Dewan Tan Sri Pairin, Hongkod Koisaan KDCA di sini pada Selasa.

Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, persembahan dan pameran tradisional turut akan dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan di setiap rumah tradisi.

Beliau berkata, beberapa pembaharuan lain turut dilaksanakan termasuklah membuka kaunter informasi kaamatan bermula 15 Mei hingga 31 Mei 2026.

“Ini adalah bagi memudahkan pelancong dan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan jadual program Kaamatan serta kepelbagaian budaya etnik di Sabah.

“Selain itu, kawasan tapak pameran agensi kerajaan turut dinaik taraf melalui kerja-kerja penurapan bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa dan teratur untuk para pengunjung serta pempamer,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE