Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerjasama Sabah–Jepun diperkukuh, fokus pemuliharaan alam sekitar dan hubungan budaya


Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Jepun dalam usaha melindungi alam sekitar terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk sokongan teknikal dan kewangan bagi pemuliharaan hidupan liar serta hutan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata hubungan erat itu kini melangkaui sektor pelancongan dan budaya serta merangkumi aspek kelestarian alam sekitar secara berterusan.

“Jepun melalui pelbagai agensi dan yayasannya secara konsisten menyalurkan sumbangan setiap tahun bagi membantu usaha pemuliharaan di negeri ini khususnya menerusi Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan kelestarian hutan dan biodiversiti negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Kembara Kebudayaan ‘I Love Sushi’ di Muzium Tamadun Islam Sabah di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai pameran itu, Jafry berkata program anjuran The Japan Foundation itu menjadi platform terbaik untuk memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun menerusi medium makanan yang bersifat universal.

Katanya, pameran itu memberi peluang kepada orang ramai meneroka sejarah dan seni di sebalik pembuatan sushi menerusi paparan visual serta pengalaman simulasi suasana kedai sushi yang interaktif.

Sementara itu, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata sushi merupakan simbol budaya Jepun yang mencerminkan nilai tradisi serta kreativiti, selain bertindak sebagai medium untuk merapatkan hubungan masyarakat antarabangsa.

“Sushi melambangkan budaya dan kreativiti serta menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai negara melalui pertukaran budaya,” katanya.

Pameran yang julung kali diadakan itu dibuka kepada orang ramai bermula 7 Mac hingga 7 Jun 2026 dengan kadar bayaran masuk RM2 bagi pelawat tempatan dan RM15 bagi pelawat asing.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai Mei Sing, Pengarah Jabatan Muzium Sabah Arif Abdul Hamid dan Pengarah The Japan Foundation Kuala Lumpur Tsukamoto Norihisa.

LEAVE A RESPONSE