KOTA KINABALU: Seorang saksi dalam prosiding inkues kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, mendedahkan bahawa guru-guru di sekolah berkenaan mengetahui tentang kewujudan dua bentuk perjumpaan tidak rasmi di asrama yang dikenali sebagai Mesyuarat Asrama (MA) dan Mesyuarat Bilik (MB).
Saksi kanak-kanak ke-12 (deponen ke-21) yang juga pelajar asrama berkenaan memberitahu Mahkamah Koroner, bahawa MA biasanya diadakan secara beramai-ramai antara pelajar senior dan junior, manakala MB hanya melibatkan pelajar sebilik.
Menurutnya, amalan tersebut sudah lama wujud dan kebiasaannya dijalankan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior.
“Saya sendiri pernah kena MA semasa jadi junior dulu,” katanya di hadapan mahkamah.
Dalam keterangannya, saksi turut memaklumkan bahawa pada malam 15 Julai 2025, beliau bersama beberapa pelajar lain telah dipanggil oleh seorang senior untuk berjumpa dengan Zara bagi menegur berhubung dakwaan kes kecurian melibatkan kad bank dan lencana bendera.
Zara bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut sebelum berlaku pertengkaran apabila seorang pelajar senior dikatakan menengking mangsa.
Saksi berkata, beliau meninggalkan bilik sekitar jam 10.30 malam dan hanya menyedari kejadian tragis pada kira-kira jam 4 pagi apabila dikejutkan oleh rakan-rakan selepas keadaan asrama menjadi kecoh.
Saksi menegaskan bahawa pelajar tidak pernah diberikan sebarang peranan rasmi oleh pihak sekolah untuk menyiasat atau menghukum rakan lain, malah beliau sendiri pernah menjadi mangsa kekasaran pelajar senior lebih daripada sekali semasa menjadi junior.
Beliau juga mengesahkan pernah membuat laporan kepada guru dan warden mengenai kejadian (kekasaran) tersebut namun tidak pasti sama ada tindakan diambil oleh pihak sekolah.
Prosiding inkues di Mahkamah Koroner hari ini turut mendengar keterangan saksi kanak-kanak lain bagi membantu menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.