Read Time:1 Minute, 29 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan mengenai amalan yang dikenali sebagai ‘barcode’ dalam kalangan pelajar, iaitu perbuatan menoreh lengan menggunakan pisau pemotong (cutter) sehingga meninggalkan kesan luka.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, berkata saksi Kanak-Kanak Ke-13 yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini, memaklumkan bahawa beliau pernah melihat amalan itu ketika masih pelajar junior.
Menurut Mohd Syarulnizam, saksi juga mengakui pernah membuat ‘barcode’ sebanyak tiga kali kerana terikut-ikut dengan ‘trend’ dalam kalangan rakan.
“Saksi berkata bahawa semasa dia junior, saksi nampak beberapa rakan saksi dan pelajar batch saksi membuat amalan ‘barcode’.
Amalan ‘barcode’ ini menunjukkan luka di tangan dan dibuat dengan menoreh di lengan menggunakan cutter. Amalan tersebut biasanya dibuat sendiri oleh beberapa pelajar dan biasanya tidak ditunjukkan kepada rakan lain.
“Saksi berkata guru dan warden tahu mengenai amalan ‘barcode’. Saksi tidak tahu bagaimana mereka tahu mengenai perkara tersebut,” katanya dalam sidang media petang tadi.
Mohd Syarulnizam bersama Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James mewakili ibu kepada Allayarhamah Zara Qairina Mahathir yang merupakan pihak berkepentingan dalam inkues ini.
Sementara itu, peguam Joan Goh menjelaskan bahawa saksi Kanak-Kanak Ke-13, yang kini merupakan pelajar senior, menyatakan bahawa semasa di Tingkatan 1, ramai rakan ‘batch’ saksi membuat ‘barcode’ dengan menoreh di lengan menggunakan cutter.
Bagaimanapun, saksi tidak mengetahui sebab sebenar amalan itu dilakukan.
“Jadi, pada masa itu, saksi sendiri ada membuat ‘barcode’ dengan menoreh tangannya kerana berasa tertekan dengan masalah keluarga dan terikut-ikut dengan trend batch saksi.
“Saksi melakukan perbuatan itu sebanyak tiga kali iaitu sekali pada pertengahan tahun Tingkatan 1, kali kedua pada hujung tahun, dan kali ketiga pada awal Tingkatan 2. Saksi tidak pernah melakukannya lagi selepas itu,” katanya.