Read Time:1 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah terus mengundang kebimbangan rakyat, yang kini menuntut penjelasan lebih jelas serta komitmen tegas daripada Kerajaan Persekutuan.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, meskipun kerajaan mengakui formula 40 peratus itu masih terpakai namun keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya dilihat menimbulkan tanda tanya terhadap kesungguhan merealisasikan hak berkenaan.
Beliau berkata, isu rayuan di mahkamah berkaitan “Tahun-Tahun Hilang” dari 1974 hingga 2021 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan bagi tahun semasa.
Menurutnya, perkara berkaitan sejarah tuntutan dan pelaksanaan semasa perlu diurus secara berasingan agar hak rakyat Sabah tidak terus terjejas.
“Keperluan Sabah terhadap peruntukan tambahan ini amat mendesak, khususnya bagi pembangunan infrastruktur asas dan peningkatan taraf hidup rakyat.
“Penangguhan hanya akan memberi kesan kepada perancangan pembangunan negeri secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa hak 40 peratus adalah termaktub dalam Perlembagaan dan bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan rundingan politik.
Menurutnya, ketelusan amat penting dalam isu ini, termasuk keperluan menetapkan garis masa jelas bagi pelaksanaan semakan serta pembayaran kepada Sabah.
“Rakyat berhak mengetahui bila dan bagaimana hak ini akan dilaksanakan tanpa sebarang ketidakpastian,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul menyeru agar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri diperkukuh melalui pendekatan lebih konstruktif, tanpa terlalu bergantung kepada proses mahkamah yang boleh melambatkan penyelesaian.
“Isu melibatkan kepentingan rakyat perlu ditangani segera dengan keikhlasan dan komitmen semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, rakyat Sabah diseru agar terus bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri, demi memastikan apa yang termaktub dapat direalisasikan sepenuhnya. – SABAH MEDIA






