Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Cadangan projek kereta kabel Kinabalu perlu patuhi prinsip pembangunan mampan


Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Cadangan pembangunan projek Kereta Kabel Kinabalu di kawasan Kundasang berhampiran Gunung Kinabalu perlu menepati prinsip pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan mengutamakan kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.

“Gunung Kinabalu merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(UNESCO) yang mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi tinggi.

“Justeru, setiap cadangan pembangunan mesti mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pihak Jesselton International Sdn Bhd yang membentangkan cadangan projek berkenaan bersama laporan kajian kebolehlaksanaannya.

Jafry berkata, kerajaan negeri menyokong pembangunan yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun pelaksanaannya perlu dikawal rapi bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif.

Beliau turut menarik perhatian kepada beberapa contoh antarabangsa melibatkan pembangunan kereta kabel di kawasan sensitif, termasuk Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Teleférico del Teide di Teide National Park serta Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie National Forest Park.

Selain itu, projek seperti Table Mountain Aerial Cableway di Table Mountain dan Sugarloaf Cable Car di Sugarloaf Mountain menunjukkan bahawa pembangunan pelancongan boleh dilaksanakan dengan impak minimum terhadap alam sekitar melalui pengurusan pelawat yang berkesan.

“Pengalaman antarabangsa membuktikan kemudahan seperti ini boleh mengurangkan tekanan aktiviti pendakian serta meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun, namun ia mesti berasaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan ‘conservation first’ perlu dijadikan asas utama dalam menilai cadangan projek berkenaan, termasuk memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar dan integriti kawasan Taman Kinabalu.

Pada masa sama, aspek kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau turut perlu diberi perhatian, termasuk peluang ekonomi, penglibatan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.

Beliau turut menekankan keperluan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.

“Sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk Taman-Taman Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE