Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Isu stok beras dibincang, kerajaan negeri perketat pemantauan


Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tegas dalam menangani isu kekurangan bekalan beras apabila pemantauan di seluruh rantaian pengedaran dipertingkatkan bagi memastikan keterjaminan makanan rakyat terus terpelihara.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau sendiri mempengerusikan sesi libat urus khas di Wisma Pertanian pada Khamis (2 April) susulan laporan kekurangan stok beras di beberapa kedai dan pasar raya minggu lalu.

“Terdapat rakan-rakan wakil rakyat masih menghantar bukti kekurangan beras melalui gambar dan video di kedai-kedai yang mereka kunjungi,” tegasnya.

Menurut beliau, mesyuarat itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar di lapangan serta merangka langkah segera bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.

“Fokus kita adalah memastikan masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan tindakan yang tepat,” katanya.

Jamawi turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri telah mengarahkan supaya bekalan beras, khususnya stok penimbal (stockpile), diperiksa dan dipastikan mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.

Dalam masa sama, katanya, Kabinet Negeri turut mengamanahkannya untuk memastikan aspek keterjaminan makanan diperkukuh termasuk kecukupan bekalan serta kawal selia beras melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan LPBS tidak mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan terhadap kesalahan seperti penyorokan atau penyeludupan.

“LPBS tidak ada punca kuasa untuk penguatkuasaan termasuk memantau penyorokan dan penyeludupan,” katanya.

Sehubungan itu, peranan pemantauan turut digalas oleh pihak BERNAS dan Bahagian Kawal Selia, manakala penguatkuasaan harga serta tindakan terhadap pencatutan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Langkah bersepadu ini, katanya, penting bagi membendung aktiviti penyelewengan termasuk penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan di pasaran.

“Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyeludupan beras dan isu ‘bekalan ghaib’,” jelasnya.

Sebagai tindakan susulan, satu lagi pertemuan bersama pemain industri dan pembekal padi dijadualkan berlangsung pada 7 April ini bagi memperincikan langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang.

LEAVE A RESPONSE