Read Time:1 Minute, 54 Second
KOTA KINABALU: Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini disifatkan sebagai sebahagian daripada kitaran normal sistem monsun Malaysia, namun intensitinya boleh dipengaruhi oleh faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena atmosfera semasa.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Gs. Dr Lindah Roziani Jamru, berkata keadaan panas yang dirasai kini berlaku kerana Malaysia berada di penghujung Monsun Timur Laut dan bakal memasuki fasa peralihan monsun.
Menurut beliau, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan berkurangan, sekali gus menyebabkan peningkatan suhu di kebanyakan kawasan.
“Secara asasnya, keadaan ini adalah normal dalam kitaran monsun Malaysia. Namun, tahap kepanasan yang dirasai boleh menjadi lebih ketara disebabkan faktor tambahan seperti perubahan iklim global dan fenomena atmosfera semasa,” katanya ketika ditemui media pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena global seperti El Niño memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca tempatan.
“El Niño lazimnya menyebabkan keadaan lebih panas dan kering kerana taburan hujan berkurangan, sekali gus meningkatkan suhu di Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sesuatu keadaan hanya boleh diklasifikasikan sebagai gelombang haba sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Jika suhu berada sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius, ia dianggap sebagai tahap berjaga-jaga, manakala suhu melebihi 40 darjah Celsius dikategorikan sebagai gelombang haba ekstrem,” katanya yang juga merupakan Ketua Program Geografi FSSK UMS.
Mengulas mengenai implikasi jangka panjang, beliau menegaskan cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap sumber air, sektor pertanian dan kesihatan manusia.
“Antara kesannya termasuk penyusutan paras empangan, gangguan kepada hasil pertanian akibat kekurangan air, serta peningkatan risiko kesihatan seperti dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan haba,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan tindakan bersama antara kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi situasi cuaca panas ekstrem.
Di peringkat kerajaan, langkah seperti memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan memperhebat kempen kesedaran awam perlu diberi perhatian.
“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta menggunakan air dan elektrik secara berhemah,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan geografi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu cuaca dan iklim.
“Ia membantu masyarakat memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim, sekali gus mendorong tindakan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.






