Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sekarang masa untuk bekerja, beri tumpuan pembangunan kawasan – Ruddy


Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah menyifatkan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya dalam petisyen pilihan raya baru-baru ini sebagai pembakar semangat untuk terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.

Beliau berkata, keputusan mahkamah pilihan raya yang membatalkan petisyen difailkan oleh lawannya daripada Parti Warisan adalah satu mandat jelas untuk meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada pasukan peguam. Keputusan ini bagi saya adalah ketentuan dan memberi semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat Pitas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen calon Warisan, Datuk Harun Ismail, yang mencabar kemenangan Ruddy di kerusi DUN Pitas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Wong Siong Tung, yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu melalui Zoom selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Ruddy serta dua lagi responden.

Pempetisyen (Harun) diperintahkan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Ruddy, dan tambahan RM15,000 sebagai kos kepada responden kedua dan ketiga.

Mengulas mengenai bayaran kos sebanyak RM15,000 yang diputuskan mahkamah, Rudy berkata jumlah tersebut akan disalurkan kepada golongan memerlukan khususnya anak-anak yatim.

“Sekiranya wang itu diterima mengikut tempoh yang ditetapkan mahkamah, saya akan serahkan kepada anak-anak yatim kerana mereka lebih memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak khususnya pengundi di DUN Pitas agar menerima keputusan mahkamah dengan terbuka serta menghentikan sebarang spekulasi atau sindiran.

“Keputusan ini adalah muktamad. Jangan lagi ada sindir-menyindir. Sekarang masanya untuk kita bekerja dan memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan,” katanya.

Ruddy menegaskan bahawa tempoh perkhidmatan yang masih berbaki akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperjuangkan kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur.

Katanya, beliau akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti serta pihak berkaitan bagi memastikan keperluan asas rakyat di Sabah, terutama di kawasan luar bandar seperti Pitas, dapat dipenuhi.

“Kita masih ada tempoh yang panjang untuk berkhidmat. Fokus saya adalah turun padang dan memastikan pembangunan infrastruktur yang amat diperlukan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE