Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil tindakan susulan termasuk aspek perundangan bagi memastikan isu penyalahgunaan nama dan logo universiti di platform media sosial ditangani dengan segera dan berkesan.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihaknya sentiasa menghargai keterlibatan dan keprihatinan warga pelajar dalam menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat.
Beliau berkata, identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

“Sehubungan itu, bagi memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua, UMS telah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun yang berkaitan.
“Selain itu, UMS juga telah mengambil tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian, termasuk aspek perundangan termasuk memperkukuh saluran komunikasi rasmi universiti sebagai rujukan utama,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu Dr Kasim berkata, sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar universiti itu digalakkan untuk disalurkan melalui saluran rasmi universiti dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS.
Beliau berkata, ini termasuklah penyampaian kenyataan yang mewakili universiti kepada masyarakat umum, bagi memastikan penyampaian yang lebih tersusun, tepat dan berkesan.
“Sebagai Naib Canselor, saya menyeru seluruh warga UMS untuk terus mengamalkan komunikasi yang berhemah, berfakta, saling menghormati dan mematuhi peraturan, selaras dengan nilai universiti sebagai Brain of Borneo.
“UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus yang inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya. – SABAH MEDIA






