Read Time:2 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Semangat Hari Raya Aidilfitri terus menjadi penggerak utama mengeratkan perpaduan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama seterusnya menjadi asas keamanan serta keharmonian negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata keamanan adalah elemen terpenting dalam membentuk dinamika rakyat dan negara, yang harus disyukuri dengan terus mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta komited memelihara kesatuan masyarakat.
“Tanpa kesatuan, masyarakat akan mudah berpecah belah dan keadaan seperti ini akan merugikan. Kesatuan bukan sekadar bersatu dalam ikatan tetapi juga dalam pemikiran, tujuan dan tindakan.
“Hakikatnya, kesatuan adalah kunci kepada keharmonian sosial. Perbezaan budaya, agama dan tradisi perlu dihormati dan dijadikan kekuatan untuk memupuk rasa saling menghargai serta menyingkirkan perasaan syak wasangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M.
Menurut beliau, pendidikan yang baik, dasar-dasar yang inklusif serta usaha mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin adalah langkah penting dalam memupuk keadilan dan kesejahteraan sosial rakyat.
“Sama-samalah kita berusaha mencari redha Allah SWT dengan menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada untuk memperbaiki keadaan hidup, baik dari segi akidah, ekonomi, pendidikan mahupun sosial,” katanya.
Tun Musa turut menyeru masyarakat agar menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan mengikut kemampuan masing-masing.
“Ini merupakan kaedah berkongsi rezeki seterusnya membina hubungan baik, mengerat tali silaturahim dan mengukuh perpaduan khususnya pada musim perayaan Aidilfitri,” katanya.
Beliau menekankan Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk bergembira dan mengamalkan tradisi mulia masyarakat dengan menziarahi antara satu sama lain serta bermaaf-maafan.
“Saya berdoa agar sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah dan bermakna mengukuhkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.
Tun Musa juga mengingatkan masyarakat agar tidak mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Berpada-pada dalam soal makan dan minum serta berhati-hati di jalan raya kerana musim perayaan sering mencatatkan kadar kemalangan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan parah serta kehilangan nyawa,” katanya.
Di samping itu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang berkorban jiwa raga demi memelihara keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.
“Kenang dan hargai khidmat bakti mereka dengan berdoa agar sentiasa mendapat rahmat serta taufik Allah SWT dalam memikul amanah yang berat dan mencabar. Mudah-mudahan segala khidmat bakti ini beroleh ganjaran yang besar di sisi Allah SWT,” tambahnya lagi.
Tun Musa menambah, rakyat telah menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan serta ketakwaan dan kini berpeluang menyambut bulan Syawal yang penuh makna.
“Aidilfitri diimarahkan dengan lafaz takbir, tahlil dan tahmid sebagai lambang rasa syukur serta pujian kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kemenangan menempuh ujian Ramadan. Semoga ibadah kita diterima dan darjat takwa dicapai dengan sebenar-benarnya,” katanya lagi.
Mengakhiri perutusannya, Tun Musa dan seluruh ahli keluarga merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat, khususnya umat Islam yang menyambutnya.






