KOTA KINABALU: Seorang lelaki dibebaskan daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki, enam tahun lalu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali pada Jumaat melepaskan dan membebaskan Sim Yun Kong, 44, selepas perbicaraan penuh.
Mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Seramai tujuh saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan terhadap Sim, manakala Sim merupakan satu-satunya saksi bagi pihak pembelaan.
Sim didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Mac jam lebih kurang 7.38 malam di Jalan Tun Fuad Stephen, di sini.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sim diwakili oleh peguam Ariel Dasan dan Dominic Chew Ban Huat.
Pegawai pendakwa trafik Insp Mohamad Khairul Nizam Mokhtar dan Insp Irianshah Bakar mengendalikan pendakwaan.






