SANDAKAN : Kumpulan Sawit Kinabalu merancang untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu di Sabah bagi memperkukuh bekalan makanan tempatan serta memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Hazem Mubarak Musa berkata, antara langkah yang dirancang termasuk memperluaskan kapasiti penyembelihan serta meningkatkan operasi pengeluaran yang ketika ini masih dijalankan pada skala kecil.
“Ketika ini kita sudah mempunyai proses pengeluaran daging lembu tetapi pada skala kecil. Namun, kita sememangnya mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi pengeluaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Kumpulan Sawit Kinabalu di perkarangan Masjid Raya Seri Aman, Pekan Muhibbah Batu 12, Sungai Manila, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, Sawit Kinabalu ketika ini memiliki ladang penternakan lembu di Tawau dengan jumlah ternakan mencecah kira-kira 14,000 ekor.
Media turut dimaklumkan bahawa pengeluaran daging lembu syarikat itu kini mencecah sekitar 6,000 ekor setahun.
Dalam perkembangan lain, Hazem berkata pihaknya juga akan berusaha membantu penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini.
Beliau berkata, terdapat rumah dan jambatan yang dilaporkan mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.
“Kita akan cuba membantu mereka yang terkesan akibat banjir, khususnya komuniti yang memerlukan bantuan segera,” katanya.






