Read Time:1 Minute, 35 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: “Saya tersilap langkah,” rayu seorang pemuda berusia 23 tahun yang mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya sendiri pada bulan puasa.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bagaimanapun menegaskan kesalahan telah dilakukan dan Mahkamah perlu melindungi mangsa dalam kes ini lebih daripada kepentingan tertuduh sendiri.
Tertuduh dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan satu sebatan atas kesalahan yang dilakukan terhadap sepupunya berusia 14 tahun pada 23 Februari lalu kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung dalam daerah Papar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama satu tahun ketika dalam tahanan di bawah Seksyen 26 akta yang sama.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 akta berkenaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki bilik tidur mangsa sebelum melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan mengarahkan mangsa supaya berdiam diri serta tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa. Mangsa cuba keluar dari bilik namun dihalang kerana risau mangsa memberitahu ibunya.
Bagaimanapun, mangsa tetap memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya kira-kira jam 6 pagi pada hari yang sama. Ibunya kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan, yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan beliau merupakan tulang belakang keluarga dan perlu membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal, serta adiknya yang masih bersekolah.
Menjawab soalan hakim, pemuda lepasan diploma itu berkata beliau belum bekerja dan sedang menunggu panggilan pekerjaan. Beliau juga mengakui seorang muslim dan berpuasa.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon hukuman berat dengan mengambil kira fakta kes, hubungan kekeluargaan antara tertuduh dan mangsa serta keperluan memberi mesej kepada masyarakat tentang keseriusan kesalahan ini.






