Read Time:3 Minute, 17 Second
Oleh: Wan Azrain Adnan
Perpaduan rakyat Malaysia dilaporkan kekal kukuh, stabil dan menunjukkan peningkatan. Namun di sebalik angka yang memberangsangkan itu, wujud jurang yang agak ketara antara negeri dan wilayah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada skor yang dilaporkan benar-benar mencerminkan realiti sosial di lapangan .
Beberapa hari lalu, Kementerian Perpaduan Negara menerbitkan Laporan Indeks Perpaduan Nasional 2025 (IPNas 2025), satu mekanisme empirikal yang diperkenalkan sejak 2018 bagi mengukur tahap perpaduan nasional serta menilai keberkesanan dasar kerajaan dalam mengurus hubungan social.
IPNas 2025 dibina berasaskan lima komponen utama — Kesepaduan Sosial, Tadbir Urus dan Pembangunan, Tahap Keetnikan, Hubungan Sosial Rentas Etnik serta Etos Nasional — yang secara kolektif memberi gambaran menyeluruh tentang persepsi dan situasi perpaduan rakyat .
Secara keseluruhan, IPNas 2025 merekodkan skor 0.701 dan meletakkan Malaysia pada tahap sederhana . Dari sudut trend, perkembangan ini wajar diiktiraf kerana skor menunjukkan peningkatan konsisten sejak 2018, bergerak daripada 0.567 kepada 0.629 dan kini 0.701 . Malaysia kini berada di pinggir julat tertinggi bagi kategori sederhana — satu pencapaian yang tidak boleh dipandang ringan.
Namun, analisis negeri demi negeri mendedahkan landskap yang lebih kompleks. Hanya tiga negeri dan wilayah mencapai tahap tinggi iaitu Pahang, Melaka dan Sarawak. Selebihnya kekal di tahap sederhana, malah hampir separuh mencatatkan skor lebih rendah daripada purata nasional, termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Hakikat bahawa Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara merekodkan skor lebih rendah turut mengundang renungan .
Pahang muncul sebagai negeri dengan skor tertinggi, didorong oleh pencapaian kukuh dalam komponen Tadbir Urus dan Pembangunan, Etos Nasional serta Hubungan Sosial Rentas Etnik . Ini memberi isyarat bahawa keyakinan terhadap institusi dan agihan pembangunan yang dirasai seimbang antara bandar dan luar bandar mampu memperkukuh kesepaduan sosial.
Sebaliknya, Kedah yang mencatatkan skor terendah berdepan cabaran jurang pembangunan bandar-luar bandar, pengaruh Tahap Keetnikan yang masih kuat serta hubungan rentas etnik yang terhad. Etos Nasional sedia ada pula belum cukup kuat untuk mengimbangi perbezaan ekonomi dan sosial. Ini menunjukkan bahawa perpaduan bukan sekadar soal interaksi sosial, tetapi sangat bergantung pada keadilan pembangunan dan peluang yang dirasai bersama.
Bagi Sabah, skor 0.722 meletakkannya lebih tinggi daripada purata nasional dan keenam tertinggi di negara ini. Kekuatan utama Sabah terletak pada kepelbagaian etnik yang telah lama menjadi asas identiti sosialnya.
Namun, untuk memastikan perpaduan benar-benar seimbang antara bandar dan pedalaman, pembangunan infrastruktur asas serta pendidikan toleransi budaya perlu terus diperkukuh. Dalam konteks Sabah yang unik dengan realiti geografi dan demografi tersendiri, usaha memperkasa keterangkuman sosial mesti disesuaikan dengan keperluan tempatan.
IPNas 2025 turut menekankan bahawa interaksi sosial semata-mata tidak memadai tanpa tadbir urus yang adil, pembangunan saksama dan nilai kebangsaan yang hidup dalam jiwa rakyat. Hubungan sosial perlu diterjemah kepada kerjasama sebenar dalam kehidupan seharian, bukan sekadar wujud dalam bentuk toleransi minimum.
Di sinilah timbul persoalan yang lebih mendasar. Walaupun skor meningkat, laporan media dan dinamika perbualan di media sosial sering memperlihatkan ketegangan dan kerapuhan hubungan antara komuniti. Ada pandangan bahawa perpaduan yang wujud hari ini mungkin bersifat superficial — sekadar toleransi di permukaan, belum mencapai tahap setia kawan dan solidariti sebenar.
Cabaran menjadi lebih rumit apabila trajektori kehidupan rakyat dari komuniti berbeza berjalan selari tetapi jarang bersilang. Laluan pendidikan, persekitaran sosial, sektor pekerjaan dan kawasan perumahan yang berbeza mewujudkan realiti “parallel but not intersected”. Contoh yang digariskan — daripada aliran sekolah hingga laluan kerjaya dan penempatan — menggambarkan bagaimana pemisahan struktur ini boleh mengehadkan interaksi bermakna antara komuniti.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada perpaduan wujud atau tidak, tetapi sejauh mana ia benar-benar berakar dalam pengalaman hidup rakyat. Jika interaksi terhad kepada ruang formal dan simbolik, tanpa perkongsian pengalaman yang tulen, maka peningkatan skor indeks mungkin belum mencerminkan kekuatan sebenar di peringkat akar umbi.
Secara keseluruhan, IPNas 2025 memberi gambaran bahawa asas perpaduan negara masih stabil dan menunjukkan trajektori positif. Namun, kestabilan ini tidak boleh dianggap memadai. Tugas sebenar ialah memperdalamkan perpaduan daripada sekadar toleransi kepada solidariti, daripada sekadar coexistence kepada kerjasama yang tulen dan berterusan.






