Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Suspek Tembak Kereta Komander AKPS Dipercayai Guna Senjata Api Jenis Semi Auto

BUKIT KAYU HITAM: Polis mengesyaki suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir awal pagi Rabu menggunakan senjata api jenis semi automatik.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati dua das tembakan dilepaskan pada jarak kira-kira satu meter ketika kenderaan mangsa sedang bergerak.

Menurut beliau, jenis senjata dipercayai berdasarkan penemuan peluru yang pecah di lokasi kejadian.

“Kita percaya suspek menggunakan senjata semi automatik susulan penemuan kesan peluru yang pecah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Siasatan juga mendapati kejadian dipercayai melibatkan dua individu yang menaiki motosikal berkuasa kecil, berpakaian gelap dan memakai topi keledar bertutup penuh, manakala mangsa ketika itu memandu bersendirian.

Susulan insiden berkenaan, polis segera melancarkan Ops Tutup termasuk di pintu masuk sempadan negara di Durian Burung, Padang Terap bagi mengesan suspek.

Adzli menyifatkan kejadian itu sebagai cabaran kepada semua agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan dan mengingatkan anggota agar sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan.

“Saya menyeru semua anggota penguat kuasa supaya mengutamakan keselamatan ketika menjalankan tugas,” katanya.

Mohd Nasaruddin dilaporkan terselamat dalam kejadian itu ketika dalam perjalanan menunaikan solat subuh.

LEAVE A RESPONSE