Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Surau sementara Bazar Ramadan akan dibincang bersama PBT, JHEAINS dan MUIS

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Cadangan bagi penyediaan surau sementara atau ruang solat di setiap lokasi bazar Ramadan di negeri ini akan dibincangkan bersama pihak berwajib termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam (MUIS) dan pejabat Mufti bagi memastikan kemudahan surau dapat disediakan. 

Beliau berkata, cadangan penyediaaan surau itu adalah khusus kepada lokasi bazar Ramadan yang jauh daripada tempat beribadah.

“Bagi bazar yang terletak berdekatan masjid, seperti di Beaufort dan Membakut, surau tambahan tidak perlu disediakan kerana pengunjung boleh menggunakan masjid yang sedia ada.

“Insya-Allah, ini akan memudahkan pengunjung menunaikan ibadah dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Al-Quran, Pelancaran Buku Dan Garis Panduan JHEAINS yang bertempat di Wisma MUIS, di sini, pada Selasa. 

Pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mencadangkan agar ruang solat sementara disediakan bagi memberi kemudahan kepada peniaga dan pengunjung sepanjang bulan Ramadan nanti. 

Arifin yang juga Exco Agama berkata, para peniaga turut diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran bazar Ramadan terutama kepada makanan yang dijual bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung terjaga. 

“Seperti mana pimpinan lain, termasuk Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kita perlu jaga kebersihan makanan yang disajikan kepada orang ramai. 

“Ini juga menjadi tanggungjawab PBT untuk memantau peniaga melalui majlis daerah masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE