Read Time:2 Minute, 48 Second
KOTA KINABALU: Semakan semula tarif elektrik akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti serta mampan, tanpa mengabaikan kebajikan pengguna.
Sabah Electricity dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, pelaksanaan semakan tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR), selaras dengan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Menurut kenyataan itu, semakan tarif dibuat berikutan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur tenaga serta selari dengan dasar Kerajaan berhubung pengurangan subsidi secara berperingkat.
Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti, di samping menjamin sistem pembekalan elektrik kekal berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan.
Semakan ini melibatkan penstrukturan semula kadar tarif elektrik baharu bagi pengguna Sabah Electricity, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan daripada 34.52 sen per kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.
Bagi Tempoh Kawal Selia Kedua (Regulatory Period 2 – RP2), kadar purata kos pembekalan elektrik sebenar dianggarkan pada 45.08 sen/kWj, berbanding kadar tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj.
Kerajaan Persekutuan kekal komited menyalurkan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, dengan jumlah subsidi bagi tempoh dua tahun, 2026 hingga 2027, dianggarkan berjumlah RM849 juta.
Pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menikmati kadar tarif yang sama sejak 2014, meskipun kos pembekalan elektrik terus meningkat, sekali gus menyebabkan kebergantungan tinggi terhadap subsidi Kerajaan.
Dalam masa sama, semakan tarif ini turut mengambil kira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan, bersamaan bil semasa antara RM5 hingga RM206, hanya akan mengalami kenaikan minimum sehingga RM27.
Bagi golongan miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
Sementara itu, bagi pengguna komersil kecil, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500 kWj sebulan, melibatkan bil semasa antara RM15 hingga RM199. Lebih separuh pengguna komersil dianggarkan berada dalam kategori ini dan hanya terkesan dengan kenaikan minimum antara RM4 hingga RM24, termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil.
Diskaun Off-Peak Tariff Rider (OPTR) sebanyak 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak turut diteruskan kepada pengguna komersil dan industri voltan rendah bagi mengurangkan beban kos operasi.
Sebagai langkah keprihatinan sosial, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif.
Kerajaan Negeri turut memperkenalkan diskaun baharu sebanyak 10 peratus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) bagi menyokong keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan.
Melalui semakan tarif ini, pelaburan dalam penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik dapat diteruskan bagi mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur tenaga termasuk sistem grid yang lebih kukuh dan mampan.
Dalam pada itu, pengguna digalakkan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah serta menyertai program kecekapan tenaga yang dianjurkan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang ECoS di ecos.gov.my, manakala butiran jadual tarif dan anggaran bil elektrik bulanan boleh diakses melalui laman sesawang Sabah Electricity di www.sesb.com.my serta Kalkulator Bil Elektrik yang boleh digunakan mulai 1 Februari 2026.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Sabah Electricity melalui talian 15444, 088-515000 atau aplikasi Sabah Electricity.






