Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Sekretariat SMJ perlu perkukuh tadbir urus, penyelarasan agensi – Masidi

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dinasihatkan supaya terus mengamalkan tadbir urus yang baik, memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana serta memastikan setiap inisiatif yang dirangka berteraskan keperluan rakyat dan memberi impak yang jelas serta berterusan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sekretariat SMJ di pejabatnya di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Penyelaras SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, bersama Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ramlee Kariah, bertujuan membincangkan penyelarasan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), khususnya berkaitan perancangan strategik dan hala tuju pembangunan negeri.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan pelaksanaan program SMJ 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), selain perbincangan mengenai usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan berintegriti selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, dengan memberi penekanan kepada tadbir urus yang baik, kecekapan pengurusan serta pulangan yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Masidi turut menekankan kepentingan pemantauan rapi dan penilaian berterusan bagi memastikan semua program dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang diketuai oleh Pengerusi SESB, Saadiah Aziz, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar.

Kunjungan berkenaan bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama serta membincangkan isu berkaitan bekalan elektrik di negeri ini, termasuk usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan sistem penyampaian tenaga.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa operasi SESB serta inisiatif penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan kepada rakyat Sabah.

LEAVE A RESPONSE