Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) hari ini mengumumkan pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada pengguna yang layak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara.
Pemberian rebat itu akan memberikan manfaat kepada seramai 661,774 pelanggan Sabah Electricity di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemulangan rebat berjumlah RM10.4 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Januari 2026
“Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Electricity Supply Enactment 2024, Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5) (1) yang mana menyatakan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5% ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Sabah Electricity untuk mengimbangi keperluan kemampanan kewangan syarikat dengan kepentingan pengguna, khususnya dalam suasana ekonomi semasa.
Beliau berkata wang cagaran dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.
Penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada. Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka, katanya.
Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah serta memanfaatkan kemudahan pemantauan penggunaan elektrik melalui portal dan aplikasi rasmi syarikat bagi membantu pengurusan perbelanjaan elektrik dengan lebih berkesan.
Pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi pejabat Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000.
Selain itu katanya, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity.






