Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Piala Cabaran MFL : Sabah FC ketuai senarai lapan pasukan bertanding

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC akan mengetuai senarai lapan kelab yang akan bersaing dalam saingan MFL Challenge Cup 2025-2026 yang dijadual membuka tirai sekitar Februari hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) menerusi satu hantaran rasmi yang mengumumkan penyertaan lapan pasukan yang tersingkir di pusingan awal Piala Malaysia.

Selain Sabah, tujuh lagi kelab terlibat ialah PDRM, Penang, Imigresen, UM-Damansara, Perak FA, Kelantan Red Warrior dan Kelantan TRW.

Walaupun berstatus finalis Piala FA musim ini, Sabah terpaksa mengakhiri kempen Piala Malaysia lebih awal selepas tewas kepada Melaka.

Nasib sama turut dialami PDRM yang gagal menyaingi kehebatan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penang dan Perak FA pula berdepan kekecewaan apabila kelebihan kemenangan pada perlawanan timbal balik pertama tidak mampu dipertahankan sebelum masing-masing tumpas kepada Kuching City dan KL City dalam aksi kedua.

Sementara itu, Kelantan TRW dan UM-Damansara tersingkir selepas tewas kepada Selangor dan Terengganu, manakala Imigresen serta Kelantan Red Warrior turut gagal melepasi pusingan awal apabila masing-masing tewas kepada Negeri Sembilan dan DPMM FC.

Undian suku akhir MFL Challenge Cup bakal menyaksikan Sabah berdepan PDRM dalam satu pertembungan menarik, manakala dua kelab Liga A1 Semi-Pro, Perak FA dan UM-Damansara, akan bertemu sesama sendiri.

Kelantan Red Warrior pula berdepan cabaran getir apabila dijadualkan menentang kelab Liga Super, Penang, bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Satu lagi aksi suku akhir akan mempertemukan Kelantan TRW dan Imigresen, dengan perlawanan dijangka berlangsung pada awal Februari nanti.

LEAVE A RESPONSE