BEAUFORT: Sebuah rumah, empat kenderaan dan enam motosikal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Takuli, awal pagi tadi (3 Jan).
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4.11 pagi dan mendapati sebuah rumah telah terbakar 100 peratus.
“Selain rumah, kebakaran turut memusnahkan empat buah kenderaan iaitu dua Perodua Myvi, sebuah Perodua Viva dan sebuah van Toyota Hiace, serta enam buah motosikal yang semuanya terbakar sepenuhnya.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.55 pagi dan ditamatkan pada jam 5.07 pagi selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi.






