Read Time:1 Minute, 33 Second
KIMANIS : Inisiatif tenaga solar yang dilaksanakan oleh Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) terus membawa perubahan ketara kepada kehidupan komuniti luar bandar di Sabah, khususnya dalam aspek akses kepada air bersih, bekalan elektrik dan pendidikan.
Salah satu projek utama dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mandalipau, Limbahau, Papar, apabila sistem tenaga solar dipasang bagi menyokong operasi sistem penuaian air hujan.
Hasilnya, sekolah berkenaan kini mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan 52 murid dan 17 guru, sekali gus meningkatkan kelancaran aktiviti pembelajaran harian.

Selain kemudahan asas, KPSB turut menyalurkan sokongan pendidikan dengan menyumbangkan beg sekolah, bahan pembelajaran dan peralatan sukan kepada murid-murid sebagai persediaan menghadapi sesi akademik 2026.
Manakala di Sipitang, Kampung Pakiak menerima manfaat besar apabila sistem tenaga solar dipasang di 35 buah rumah, sebuah dewan komuniti dan fasiliti keagamaan menerusi kerjasama KPSB dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Projek ini memberi akses bekalan elektrik yang lebih stabil kepada lebih 190 penduduk, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
Seorang pelajar Delvi Sulinah, kemudahan elektrik tersebut bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah memberi kesan positif kepada pembelajaran kanak-kanak pada waktu malam yang sebelum ini bergantung kepada pelita.
Majlis penyerahan kemudahan yang diadakan pada penghujung 2025 itu turut disaksikan oleh wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS, mencerminkan kerjasama bersepadu antara sektor awam, industri dan komuniti setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif KPSB, Rozali Khamis berkata, pelaksanaan projek berasaskan tenaga boleh diperbaharui itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menyokong pembangunan mampan di kawasan luar bandar.
“Melalui inisiatif ini, kami berhasrat memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan, khususnya dari segi akses kepada kemudahan asas dan pendidikan,” katanya.
Usaha tersebut juga selaras dengan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 yang menyasarkan liputan bekalan elektrik sepenuhnya di kawasan pedalaman serta peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai pemacu pembangunan negeri. – SABAH MEDIA






