Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

SEDCO Sumbang RM10 Juta Kepada Kerajaan Negeri

Read Time:2 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mencatat pencapaian kewangan tertinggi dalam tempoh lebih 15 tahun apabila menyalurkan bayaran gabungan dividen dan pembayaran balik pinjaman berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun 2025.

Daripada jumlah itu, RM2 juta merupakan dividen manakala RM8 juta adalah pembayaran balik pinjaman, sekali gus mencerminkan pemulihan prestasi kewangan serta keberkesanan penstrukturan semula pengurusan Kumpulan SEDCO.

Pencapaian berkenaan direkodkan hanya 10 bulan selepas pelantikan Datuk Ar. James Wong Kein Peng sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) SEDCO pada Mac 2025, selaras pendekatan Ketua Menteri Sabah untuk memperkasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri melalui kepimpinan profesional berteraskan industri.

James merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja SEDCO atas komitmen dan sumbangan berterusan mereka dalam memacu prestasi kumpulan.

“Ini adalah hasil usaha kolektif semua Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar, pasukan pengurusan dan kakitangan SEDCO. Ia merupakan kemenangan bersama dan bukti bahawa disiplin, kerjasama serta fokus kepada prestasi mampu menghasilkan perubahan ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan peranan teras SEDCO sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri, termasuk menjana pulangan kewangan mampan kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan jangka panjang.

“Tanggungjawab utama SEDCO adalah menjana nilai ekonomi yang kukuh serta pulangan dividen bermakna supaya kerajaan dapat melabur semula dalam infrastruktur, pembangunan modal insan dan pembinaan negeri secara mampan.

“Bagi 2026, SEDCO menetapkan sasaran untuk menggandakan sumbangan kepada kerajaan negeri kepada RM20 juta melalui dividen dan pembayaran balik pinjaman, sejajar keyakinan terhadap prestasi subsidiari, projek baharu yang sedang dibangunkan serta kekuatan sistem tadbir urus dan operasi,” katanya.

Reformasi korporat dan pelan pertumbuhan

Prestasi kewangan kukuh SEDCO disokong pelaksanaan reformasi korporat dan inisiatif strategik utama, termasuk penubuhan Unit Pengurusan Projek dan Perolehan khusus bagi memastikan ketelusan serta pematuhan kepada garis panduan perolehan Kementerian Kewangan.

SEDCO juga sedang membangunkan beberapa cadangan projek pembangunan berskala besar yang berpotensi menjana nilai ekonomi berbilion ringgit kepada Sabah, antaranya Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Hab Logistik Sepanggar, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Sabah, pembangunan semula hotel, bandar baharu, Pelan Induk Pelancongan Pesisir Tuaran, Menara SEDCO, Pusat Perubatan SEDCO serta pelbagai projek komersial, perindustrian dan pelancongan lain, tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah, kementerian dan Kabinet negeri.

Projek-projek ini dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, meningkatkan daya saing pelaburan Sabah serta membina ekosistem ekonomi bernilai tinggi untuk jangka panjang.

Pembangunan usahawan dan modal insan

SEDCO turut melaksanakan program pembangunan keusahawanan Bumiputera secara holistik bagi membantu usahawan tempatan berkembang daripada perusahaan kecil kepada syarikat berskala lebih besar dan mampan, termasuk melalui bimbingan sektor swasta, akses pembiayaan, jaringan komuniti serta penglibatan dalam projek agroteknologi dan pertanian moden bagi menangani isu keselamatan makanan negeri.

Bagi memperkukuh budaya berprestasi tinggi, SEDCO memperkenalkan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merangkumi semua subsidiari dan jabatan, selain membangunkan skim ganjaran prestasi bagi menghargai pencapaian cemerlang.

SEDCO juga menubuhkan Innovation Taskforce bagi memberi pendedahan industri, latihan kepimpinan serta platform kepada bakat muda menyumbang idea inovatif dan mempersiapkan pelan penggantian kepimpinan secara sistematik.

Pemulihan projek legasi

Dalam masa sama, SEDCO sedang memulihkan beberapa projek legasi yang tertangguh, termasuk Darvel Bay Plaza Mall di Lahad Datu yang kini menunjukkan perkembangan positif serta Taman Perindustrian SME KKIP melibatkan 44 lot industri yang disasarkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2026.

SEDCO menyatakan keyakinan untuk memasuki tahun 2026 dengan momentum pertumbuhan lebih kukuh berlandaskan tadbir urus baik, disiplin kewangan dan budaya kepimpinan berprestasi tinggi, selain merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sabah terhadap agenda pembangunan dan aspirasi ekonomi negeri.

LEAVE A RESPONSE