Read Time:1 Minute, 4 Second
KOTA KINABALU: K.K.I.P. Sdn. Bhd. menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah RM12 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah, melibatkan pembayaran balik pinjaman sebanyak RM9.76 juta serta sumbangan tunai berjumlah RM2.24 juta.
Penyerahan cek cura simbolik itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan K.K.I.P. Sdn. Bhd., Datuk Lawrence G. Kimkuan bersama barisan pengurusan syarikat pada majlis penyerahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Sabah, semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan disaksikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Safar Untong; serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.
Dalam satu kenyataan hari ini, KKIP menegaskan komitmen berterusan syarikat untuk menyokong pembangunan perindustrian dan merancakkan pertumbuhan sektor pembuatan secara mampan di Sabah, selaras dengan agenda perindustrian jangka panjang kerajaan negeri.
Sehingga kini, sebanyak 346 syarikat beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), menyediakan 14,906 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM13 bilion, termasuk pelaburan asing utama dari Korea Selatan dan China.
KKIP terus berperanan sebagai pemacu utama pembangunan perindustrian negeri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan daya saing pelaburan Sabah.






