Read Time:1 Minute, 32 Second
KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik Belanjawan Sabah 2026 yang memperuntukkan RM6.402 bilion dengan lebihan RM28 juta.
Dalam satu kenyataan, Pemuda Gagasan Rakyat memaklumkan, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun itu menunjukkan pengurusan fiskal yang kukuh serta komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus memacu pembangunan negeri.
Menurut kenyataan itu lagi, belanjawan ini menyokong pelaksanaan projek dan program baharu RMKe-13 meliputi infrastruktur asas, air, pembetungan, pertanian, industri, pengangkutan dan inovasi yang menjadi pemangkin kesejahteraan rakyat.
“Pemuda turut mengalu-alukan fokus besar kepada pembangunan generasi muda melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, program latihan modal insan, pembangunan bakat, TVET, STEM dan penyertaan belia dalam projek pertanian seperti Penternakan Ayam Pedaging.
“Belanjawan ini juga memperkukuh ekosistem ekonomi masa depan melalui program seperti Sabah Sandbox Accelerate, Creative Incubator dan PitchBorneo, selaras dengan aspirasi Sabah sebagai hab inovasi dan digital.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengekalkan program rakyat yang terbukti memberi impak langsung,”menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.
Antara program rakyat yang dikekalkan termasuklah Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR); Rumah Mesra SMJ dengan peningkatan sebanyak 50 unit setiap DUN, termasuk 10 unit kuota kepada anak muda dan inisiatif pendidikan termasuk bantuan yuran MUET (BAYU), selain pelbagai bantuan pendidikan lain seperti BUDI, BAIK, BAKTI dan SUBFLY.
Pemuda Gagasan Rakyat juga menyambut baik tumpuan kepada pendidikan awal, pembangunan modal insan, keselamatan makanan, Ekonomi Biru, serta inisiatif memerangi ketirisan hasil melalui pendigitalan urus hasil dan reformasi percukaian.
Menurut kenyataan itu, semua strategi ini memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjang Sabah.
Secara keseluruhan, Belanjawan Sabah 2026 ialah belanjawan pro-rakyat, pro-pembangunan dan pro-belia.
“la menyediakan landasan jelas untuk mempercepatkan transformasi negeri dan memastikan generasi muda Sabah menjadi peneraju masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA






