Read Time:2 Minute, 33 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu), fasiliti penyimpanan tenaga terbesar di Asia Tenggara, bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelancaran BESS Lahad Datu di bawah seliaan Sabah Electricity merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik.
“Pencapaian ini sangat penting bagi Sabah kerana BESS Lahad Datu bukan sahaja yang terbesar di Malaysia, tetapi juga di Asia Tenggara. Ia direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata selain BESS, beberapa langkah strategik turut dirancang dan sebahagiannya telah dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menekankan tiga prinsip teras iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata peralihan kuasa regulatori bagi bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar sendiri serta mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga yang menepati keperluan setempat di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti baharu merangkumi sumber hidro, solar dan angin.
Bagi meningkatkan lagi penjanaan tenaga, ECoS telah melancarkan bidaan Solar Skala Besar (LSS) bagi pembangunan loji jana kuasa antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024.
Daripada bidaan itu, lima belas projek berkapasiti 199MW — 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.
“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, iaitu bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri,” katanya.
Beliau berkata satu lagi projek Solar Fotovolta Skala Besar (LSSPV) di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 akan terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah.
Hajiji turut menegaskan bahawa teknologi penyimpanan tenaga perlu diperkenalkan di beberapa lokasi strategik untuk mengurangkan gangguan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama.
Selain itu, Sabah Electricity sedang bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi melaksanakan inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) serta memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan Negeri kekal teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan, kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem bekalan elektrik. Menyedari ia faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan, kerajaan melalui kerjasama Sabah Electricity, ECoS dan agensi Persekutuan komited membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaan meraih beberapa anugerah di Project Management Award (PMA) 2025 di Kuala Lumpur, termasuk pengiktirafan terhadap projek BESS atas impaknya yang besar dalam sektor utiliti dan tenaga.






