Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Inkues Zara bersambung tahun hadapan

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Inkues kematian Zara Qairina Mahathir akan disambung semula dari 21 Januari hingga 13 Februari tahun hadapan.

Antara saksi yang bakal dipanggil memberi keterangan nanti termasuklah ibu Zara, Noraidah Lamat.

Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata mahkamah akan berehat terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada perbicaraan dua minggu, dari 8 hingga 19 Disember, terhadap lima remaja yang didakwa mencela Zara; tempoh cuti hujung tahun; serta pembukaan tahun perundangan pada 16 Januari 2026.

Beliau menambah rehat itu juga diperlukan untuk menyemak nota prosiding dan memastikan mahkamah mempunyai akses kepada semua dokumen dan bukti yang berkaitan.

Selain itu, Amir berkata mahkamah berharap tiada unsur kejutan selepas tempoh rehat sebulan ini dan prosiding dapat diteruskan dengan lancar. Beliau merujuk kepada pendedahan baharu berhubung siasatan dalaman sekolah serta dokumen yang sebelum ini tidak dikongsi dengan pihak berkuasa.

Mahkamah telah mengambil kira pendedahan tersebut dan menjangkakan inkues mungkin mengambil masa lebih lama.

“Pada akhirnya, kita hanya mahukan keadilan,” katanya, sambil menasihatkan semua yang mempunyai maklumat berkaitan kes Zara supaya menghubungi pihak berkuasa dan tidak menyebarkan dakwaan melalui media sosial.

Setakat hari ini 57 saksi telah dipanggil memberi keterangan sejak inkues bermula pada 3 September lalu.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai. Beliau disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Dalam sidang media, peguam Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga Zara, berkata pasukannya akan mengemukakan permohonan untuk menolak atau mencabar permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) yang mendakwa inkues yang sedang dijalankan tidak mengikut undang-undang inkues Sabah.

LEAVE A RESPONSE