Read Time:1 Minute, 41 Second
LIMBANG : Penyertaan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dalam Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Sarawak 2026 menjadi bukti komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan serta warisan budaya masyarakat Bisaya di Sabah dan Sarawak.
Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata, program berkenaan bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Bisaya, malah menjadi ruang penting untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dari kedua-dua negeri.
Beliau berkata, masyarakat Bisaya Sabah dan Sarawak mempunyai ikatan sejarah yang kuat melalui persamaan bahasa, budaya, adat resam serta nilai kehidupan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Menurutnya, penganjuran pesta berkenaan membolehkan masyarakat terus mengenali, memelihara dan mempromosikan identiti budaya Bisaya kepada generasi muda.
“Pesta seperti ini amat penting kerana ia bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi menjadi medan pertemuan yang menghubungkan masyarakat Bisaya dari Sabah dan Sarawak.
“Ia membuktikan bahawa hubungan persaudaraan yang terjalin sejak dahulu masih kukuh dan perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pada Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Sarawak 2026 yang berlangsung di Batu Danau, Limbang itu, PBBS turut mengambil bahagian menerusi persembahan khas oleh Biro Kebudayaan PBBS.
Persembahan tersebut mengetengahkan keunikan seni tradisi masyarakat Bisaya Sabah, termasuk elemen kebudayaan yang mencerminkan identiti komuniti berkenaan.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, penglibatan PBBS dalam program berkenaan juga memberi peluang kepada masyarakat luar mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya Bisaya.

“Warisan budaya adalah aset yang perlu dijaga bersama. Melalui program seperti ini, kita dapat memastikan adat, seni dan tradisi terus hidup serta dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.
Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Sarawak 2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail yang mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,
Dalam pada itu, Ruslan turut menyampaikan penghargaan kepada Persatuan Bisaya Sarawak atas jemputan dan sambutan baik yang diberikan kepada rombongan PBBS sepanjang program berlangsung.
Beliau berharap hubungan erat antara masyarakat Bisaya Sabah dan Sarawak akan terus berkembang melalui pelbagai kerjasama melibatkan aspek budaya, sosial dan pembangunan komuniti.






