Read Time:2 Minute, 46 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas menteri Sabah kelihatan beremosi ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan yang sedang berlangsung melibatkan kes Jabatan Air Sabah (JANS).
Saksi keempat pihak pembelaan, Datuk Seri Raymond Tan, 66, meneruskan keterangannya di hadapan Hakim Datuk Abu Bakar Manat.
“Saya telah mengangkat sumpah untuk berkata benar. Saya hadir untuk membantu mahkamah dan saya berasa gembira dengan peluang ini. Saya berharap bahawa pada akhir kes, tiada bukti yang dikemukakan di mahkamah yang menyokong tuduhan terhadap saya.
“Saya adalah mangsa dan merasa dipermalukan. Ia adalah soal keadilan awam bagi saya dan keluarga saya (semoga) kebenaran akan terungkai pada akhir kes ini,” katanya sambil menahan air mata.
Tan membuat kenyataan itu semasa sesi pemeriksaan semula oleh peguamnya, Datuk Ansari Abdullah, yang bertanya sama ada beliau mempunyai apa-apa perkara tambahan untuk disampaikan selepas pihak pendakwa mencadangkan semasa pemeriksaan balas bahawa beliau tidak berkata benar dalam keterangannya sebelum ini.
Dalam perbicaraan adalah bekas pengarah jabatan, Ag Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Ag Piut, serta bekas timbalan pengarah, Lim Lam Beng. Mereka menghadapi beberapa pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah secara haram antara Oktober dan November 2016.
Menjawab soalan semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, Raymond bersetuju bahawa terdapat satu mesyuarat berkaitan kerja antara beliau, Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu ketika itu, Teo Chee Kong, dan Lim pada tahun 2005.
Raymond juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Teo bahawa RM500,000 diberikan kepadanya dalam mesyuarat tersebut.
Raymond berkata bahawa, dari perspektif beliau, Teo telah membuat tuduhan terhadapnya di mahkamah dan beliau tidak tahu mengapa ia dilakukan.
Apabila ditanya mengapa beliau tidak membuat laporan polis selepas membaca tuduhan yang dibuat oleh Teo terhadapnya, Raymond berkata beliau tidak berbuat demikian kerana perbicaraan sudah pun berjalan dan tuduhan terhadapnya dibuat di hadapan mahkamah.
Pendakwaan: Datuk, jika mesyuarat itu melibatkan perkara penting yang memerlukan perhatian peribadi menteri, secara logiknya ia sepatutnya didokumenkan secara bertulis.
Saksi: Dalam mesyuarat itu, tiada apa-apa yang didokumenkan.
Pendakwaan: Boleh jelaskan mengapa Teo, seorang pegawai Gred 48 ketika itu, hadir ke mahkamah dan memberi keterangan bahawa anda menerima RM500,000 tunai jika perkara itu tidak berlaku?
Saksi: Saya telah memberi keterangan semalam bahawa pemberian projek air adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Tiada kuasa undang-undang bagi Teo untuk menubuhkan jawatankuasa tender sendiri untuk memilih kontraktor dan memberi projek air. Naratif yang dikemukakan oleh Teo bahawa terdapat satu skim pemberian projek air adalah tidak tepat. Teo telah membentangkan naratif palsu di mana fakta yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan beliau mungkin telah menyediakan dokumen palsu untuk kontraktor mencuri wang dari perbendaharaan.
Terdahulu, berlaku pertukaran pandangan yang tegang antara Raymond dan salah seorang pasukan pendakwaan selepas beliau tidak menjawab soalan mudah “setuju atau tidak setuju” secara terus, sebaliknya memilih untuk memberikan penjelasan.
Raymond menekankan bahawa beliau secara peribadi terkesan dengan tuduhan tersebut. Beliau berkata jika memberi respon secara terbuka, ia akan melanggar peraturan sub judice dan boleh membawa kepada penahanan kerana menghina mahkamah.
Beliau menunggu dipanggil untuk memberi keterangan di mahakmah dan juga menunggu keputusan mahkamah berhubung tuduhan yang dibuat terhadapnya.
Perbicaraan ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah, dan Zander Lim.
Lim diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, dan Kelvin Wong, manakala Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh Ansari dan Erveana Ansari.






