Read Time:1 Minute, 31 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah dimaklumkan mengenai satu lagi kes buli di SMKA Tun Mustapha, membabitkan dua pelajar lelaki yang dipercayai menendang dan menampar seorang pelajar Tingkatan Satu, tidak lama selepas insiden melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Kejadian buli itu didakwa berlaku pada September tahun ini di asrama lelaki.
Dua pelajar lelaki yang dikatakan terlibat buli itu digantung seminggu dan telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK).
Guru Sejarah Muliati Alihuddin, 41, saksi ke-56, mendedahkan perkara itu ketika disoal peguam Shahlan Jufri di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam: Pada 8 September tahun ini, adakah Unit Disiplin menerima sebarang laporan kes serangan di asrama lelaki?
Saksi: Saya tidak ingat, tetapi ia berkaitan insiden menggosok baju.
Peguam: Bagaimana kes buli ini diketahui pihak puan?
Saksi: Unit Disiplin mengetahui daripada warden kerana ia berlaku di asrama….. saya tidak pasti.
Peguam: Serangan ini berlaku di asrama lelaki di mana pelajar Tingkatan 1 itu ditampar oleh ketua dorm, betul?
Saksi: Ia berkaitan insiden menggosok pakaian.
Peguam: Puan tahu pelajar itu telah ditendang dan ditampar, betul?
Saksi: Ya, saya tahu.
Peguam: Apa yang berlaku kepada ‘pembuli-pembuli’ itu?
Saksi: Pelajar-pelajar itu disiasat polis.
Peguam: Adakah mereka digantung sekolah?
Saksi: Mereka digantung selama seminggu.
Peguam: Siapa yang membuat keputusan untuk menggantung mereka?
Saksi: Unit Disiplin.
Peguam: Apa tindakan yang diambil terhadap ‘pembuli-pembuli’ selepas tamat penggantungan?
Saksi: Mereka dirujuk kepada GBK.
Beliau turut memaklumkan bahawa lima pelajar yang terakhir berjumpa Zara sebelum kematiannya juga dirujuk kepada GBK selepas menerima amaran lisan, memandangkan perkara itu melibatkan siasatan polis dan prosiding mahkamah.
Menjawab soalan lain, Muliati bersetuju bahawa penggunaan bahasa kasar adalah kesalahan serius, namun tidak bersetuju bahawa ia merupakan perbuatan buli secara verbal.
Zara, pelajar Tingkatan 1 ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan disahkan meninggal pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.






